suria

Faizal Hussein Ada Strategi Tersendiri Kekal Populariti

Faizal Hussein ada strategi tersendiri dalam mengekalkan popularitinya sebagai pelakon. Foto RICKY LAI

PETALING JAYA: Pelakon Faizal Hussein menjelaskan sikapnya yang tidak bersikap sembrono dalam menerima sesuatu tawaran adalah strategi untuk terus kekal relevan dalam industri hiburan tempatan.

Faizal, 48, berkata, dia tidak mahu dengan kemunculannya terlalu kerapa sama ada menerusi filem atau pun drama akan menyebabkan penonton berasa bosan.

"Sejak dahulu lagi saya memang bersikap agak selektif terhadap projek yang saya terima dan itu sebenarnya strategi saya untuk terus kekal dalam industri.

"Pada saya sebagai seseorang pelakon itu tidak hanya boleh bersandarkan populariti untuk terus kekal tetapi perlu pasang strategi," katanya.

Dalam pada itu, Faizal berkata, sebagai orang lama dalam industri lakonan, dia melihat lambakan pendatang baharu bukan sesuatu membimbangkan sebaliknya ia pertumbuhan baik.

Bagaimanapun katanya, terdapat segelintir daripada mereka yang mula mendapat perhatian mula bersikap terburu-buru apabila produk lakonan mereka terlalu banyak.

Faizal Hussein bakal muncul dengan dua buah filem baharu tahun ini.

"Bila mula mendapat perhatian semua perkara hendak dilakukan tanpa menyedari ia akan menyebabkan karier mereka tidak berpanjangan.

"Lambakan produk dalam satu-satu masa membuatkan penonton akan cepat berasa jemu," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonan memerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29), Faizal berkata, dia terkejut dengan pencalonan tersebut namun bersyukur kerana ia bukti dia masih mendapat sokongan peminat.

Bagiamanapun kata Faizal, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi trofi berkenaan kerana baginya mendapat pencalonan lima terbaik sudah menggembirakannya.

Dalam perkembangan lain, Faizal berkata, dia bakal membintangi sebuah filem berjudul Abang Long Rajawali yang turut dibarisi barisan pelakon seperti Datuk M. Nasir dan Wan Hanafi Su.

Selain itu katanya, dia juga baharu selesai menjalani penggambaran filem yang menggandingkannya dengan bintang dari Hong Kong iaitu Simon Yam dan Kara Wei iaitu Mrs. K.

Ia diarahkan oleh pengarah terkenal iaitu Ho Yu Hang.

"Ia sebuah produksi tempatan tetapi pengarah dan barisan pelakon dari Hong Kong. Saya teruja dengan filem ini kerana ia sebuah karya aksi dan memerlukan saya berdialog dalam bahasa Inggeris.

"Saya juga sedang tunggu filem Tujuh arahan Raja Mukhriz untuk ditayangkan di pawagam dalam masa terdekat ini," ujarnya.

Faizal Hussein

Artikel Lain