suria

Hampir 120,000 Pencalonan APO2016 Diterima

Sebahagian daripada artis dan mereka yang terlibat dalam APO2016.
mStar Default Image


PETALING JAYA:
Pihak penganjur Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) menerima hampir 120,000 pencalonan sepanjang tempoh ia dibuka kepada orang ramai pada 3 Mac lalu.

Pengurus Produk mStar, Michael Fredericks berkata, daripada jumlah itu lebih 10,000 pencalonan tertumpu masing-masing kepada kategori Aktres Terbaik Pilihan Online dan Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online.

Manakala antara kategori yang paling kurang mendapat pencalonan ialah Bintang Sukan Wanita Pilihan Online.

Jelas Michael lagi, selain senarai nama personaliti sedia ada pihak penganjur turut menerima pencalonan daripada nama-nama pelik termasuklah bintang Hollywood dan Bollywood.

Antara nama-nama itu ialah Tom Cruise, Zayn Malik, Julia Robert, Aishwarya Rai dan Beyonce.

Bagi kategori Pasukan Sukan Pilihan Online juga turut menerima pencalonan serupa seperti Real Madrid dan Kelab Liverpool.

Bagaimanapun pencalonan itu dianggap sebagai “pencalonan rosak” dan tidak dikira markahnya.

"Pihak kami menganggap pencalonan nama-nama selebriti antarabangsa itu hanyalah untuk merosakkan pencalonan ataupun lebih bersifat ‘gurauan’ daripada orang ramai. Pencalonan itu tidak dikira,” katanya.

Siti Nurhaliza antara artis yang turut mendapat tempat dalam APO2016.

Sementara itu tempoh pencalonan akan ditutup pada pukul 12 tengah hari Rabu untuk membolehkan pengiraaan dibuat bagi memilih siapakah yang layak untuk diumumkan sebagai peserta lima teratas.

Pihak juri akan menggunakan 30 markah yang diberikan bagi menolak mana-mana pencalonan yang difikirkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Ini termasuklah kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online yang menyaksikan golongan arrtis lebih mendapat perhatian sedangkan calon berkenaan bukanlah individu yang mencitpta nama menerusi medium tersebut.

Pengumuman calon-calon bertuah untuk lima teratas akan diadakan pada satu majlis khas pada Khamis ini.

Calon yang layak menduduki senarai lima teratas akan diundi lagi sekali oleh orang ramai yang mana tempoh pengundian itu akan bermula dari 1 April sehingga 27 April depan.

Untuk tempoh pengundian, para peminat boleh membuat undian sekali sehari menggunakan akaun media sosial terpilih.

APO2016 memperkenalkan 18 kategori melibatkan hiburan, sukan dan gaya hidup termasuk satu kategori utama iaitu Selebriti Terunggul  Pilihan Online.

Setiap pemenang akan menerima rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM5,000 dan RM20,000 bagi hadiah utama.

Acara ini bakal disiarkan secara langsung di TV2 pada 30 April depan pukul 9 malam.

Ia dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.
APO2016

Artikel Lain