suria

Elly Mazlein Sedia Ke Mahkamah Selesaikan Isu Faye Kusairi

Elly sedia jika dipanggil ke mahkamah.

PETALING JAYA: Pelakon Elly Mazlein bersedia ke mahkamah jika dipanggil oleh pihak tertentu bagi menyelesaikan kontroversi yang mengaitkan pelakon Faye Kusairi dalam kes perceraiannya.

Bagaimanapun, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina, 36, enggan memberitahu sama ada dia akan membuat permohonan maaf secara terbuka seperti dipinta aktres baharu tersebut minggu lalu.

"Saya tidak mahu komen apa-apa, sekiranya dijemput, saya akan pergi saja ke mahkamah..." ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Elly diminta mengulas tentang tindakan pelakon Faye Kusairy yang meminta bekas isteri pengarah Azmi Hatta itu untuk tampil menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepadanya.

Faye Kusairy 

Minggu lalu, Faye dalam satu kenyataannya turut memberi tempoh selama dua bulan kepada Elly untuk menarik balik tuduhan yang dianggap sebagai fitnah kepadanya.

Namun jika Elly gagal berbuat demikian, Faye tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon itu.

Sementara itu, Faye yang dihubungi sama ada dia ingin meneruskan atau tidak tindakan saman jika Elly tidak berbuat demikian, Faye berkata dia enggan memberi sebarang komen atas nasihat peguam.

"Saya tidak boleh beri sebarang komen tentang perkara berkaitan isu itu. Tempoh tersebut ialah dua bulan dalam masa itu apa-apa juga boleh terjadi," ujarnya.

Terdahulu pada 21 Mac lalu, pengarah Hatta Azmi mengesahkan sudah bercerai dengan Elly di hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 15 Oktober 2015.

Namun, punca perceraian itu bukan disebabkan orang ketiga iaitu pelakon Faye Kusairi.

Azmi dan Elly berkahwin pada 9 November 2014 pada satu majlis yang diadakan di Surau As Sakinah, bersebelahan kubur ibu Elly di Puchong, dekat sini.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan pada 10 Mac lalu.

Faye Kusairi, Elly Mazlein

Artikel Lain