suria

Nabil Tolak Tawaran Berlakon, Enggan Sentuh Bukan Mahram

Nabil Ahmad
KUALA LUMPUR: Pelawak Nabil Ahmad menjelaskan salah satu sebab dia menolak beberapa tawaran berlakon filem dan drama kerana untuk menjaga batasan daripada bersentuhan dengan wanita bukan mahram.

Nabil,33, berkata, perkara itu antara cabaran yang perlu dilalui selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji pada September tahun lalu.

"Saya banyak tolak tawaran berlakon drama dan filem kerana masa yang tidak sesuai dengan komitmen sebagai pengacara beberapa program.

"Selain itu, saya mahu menjaga batas antara lelaki dengan wanita bukan mahram, kalau berlakon susah nak elak terutama jika ada adegan bersentuhan," ujarnya kepada mStar Online.

Nabil ditemui pada sidang media pelancaran Lawak Ke Der 2016 Live Di Istana Budaya yang diadakan di Istana Budaya, di sini, Rabu.

Bagaimanapun, Nabil berkata, dia bukanlah berlagak alim tetapi cuba memperbaiki diri menjadi insan lebih baik.

"Saya tidaklah berubah secara drastik, saya lebih suka orang selesa dengan saya dengan cara begini seperti Nabil yang dulu.

"Biarlah orang tidak nampak perubahan saya," ujarnya.

Selain itu, Nabil berkata, dia juga kini sedang belajar mengaji al-Quran secara persendirian di rumah dengan seorang ustaz.

"Sekarang saya sedang belajar mengaji, ada seorang ustaz yang akan datang ke rumah ajar kami sekeluarga. Isteri saya tidak ada masalah kerana dia pandai mengaji cuma tidak boleh mengajar saya.

"Kalau dia yang ajar asyik ketawa sahajalah kami, jadi terpaksa panggil orang luar," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang Lawak Ke Der 2016 Live Di Istana Budaya, Nabil berkata, ia merupakan kali keempat dia menyertai persembahan pentas komedi itu.

Katanya, biarpun hanya bertindak sebagai pengacara, namun ia turut mencabar apabila menjadi orang pertama yang membuka pentas tersebut.

"Saya tidak dapat terlibat pada satu musim iaitu tahun lalu kerana jadual kerja yang padat, memang agak kesal.

"Tahun ini saya kembali semula beraksi di pentas dengan mereka semua, walaupun saya hanya hos tapi saya perlu ada punch line untuk memanaskan pentas itu," ujarnya.

Persembahan itu akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 5 hingga 8 Mei depan.
Nabil Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain