KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli memberitahu dia hanya akan berkahwin dengan teman wanitanya, Emma Maembong apabila mendapat 'lampu hijau' daripada keluarga aktres tersebut. Kamal, 30, berkata, buat masa ini tiada apa dapat diulaskan mengenai perkembangan hubungan cintanya dengan Emma dan cukuplah sekadar umum mengetahui mereka adalah pasangan kekasih. "Saya tidak boleh ulas panjang mengenai soal kahwin kerana paling penting adalah 'lampu hijau' daripada pihak-pihak sepatutnya kerana saya perlu hormati perkara itu. "Apa-apa pun setakat ini hubungan kami macam biasa selain fokus kepada kerjaya dan selebihnya kita serahkan kepada Allah," katanya kepada mStar Online. Kamal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-tonton dan sidang media Karya 12 di GSC Pavillion di sini, Khamis. Semoga Kamal Adli dan Emma bertemu jodoh. Sebanyak enam orang pelajar jurusan seni filem berkolaborasi dengan enam pengarah terkenal menghasilkan filem televisyen. Kesemua 12 karya tersebut akan disiarkan pada setiap Sabtu bermula 30 April ini pukul 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Dalam pada itu, Kamal mengakui sudah bersedia untuk berkahwin kerana tidak mahu bercinta terlalu lama. Ini kerana kata Kamal, dia tidak mahu pengalaman percintaan sebelum ini berulang namun dia tidak terburu-buru ke arah itu. "Saya tidak tertekan walaupun tidak mahu bercinta terlalu lama tambahan pula Emma masih muda," katanya. Dalam pada itu, Kamal memberitahu cuba mengurangkan untuk bergandingan dengan Emma sama ada menerusi drama atau filem kerana bimbang peminat akan berasa bosan. Bagaimanapun kata Kamal, dia hanya akan mempertimbangkan tawaran yang datang sekiranya ia dapat memberi impak kepada karier mereka berdua. "Banyak yang minta kami bergandingan dalam drama dan filem tetapi saya perlu menghadkan perkara itu kerana tidak mahu peminat bosan. "Cukuplah kalau sekali-sekala sahaja kami bersama dalam projek tertentu," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Kamal berkata dia teruja apabila dapat berkerja bawah arahan Yusry Abdul Halim menerusi telefilem Rong Ples, Rong Taim, iaitu projek istimewa bawah Karya 12. Selain itu, dia juga bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Assalamualaikum Cinta yang turut dibintangi oleh Emma Maembong, Ayda Jebat dan Saharul Ridzwan.