suria

Kira-Kira 8,000 Tonton Konsert 30 Tahun Ella



SHAH ALAM: Konsert Ella 2016 bersempena meraikan 30 tahun pembabitan ratu rock itu dalam muzik berlangsung dengan jaya di hadapan lapan ribu peminat di Stadium Malawati di sini, malam Sabtu.

Pada konsert selama tiga jam setengah itu, Ella atau Norzila Aminuddin, 50, tampil dengan 27 lagu antaranya Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta, Layar Impian, Tiada Tangis Lagi, Demi, Permata Biru, Bayangan dan Kesal.

Konsert yang diiringi empat pemuzik dan empat penyanyi latar itu diketuai gitaris legenda Man Kidal selaku pengarah muzik.

Ella yang lincah, bertenaga dan manja sepanjang konsert turut menampilkan lima gitaris disegani iaitu Lord, Hillary Ang, Joe Wings, Edrie Hashim dan Kyoji Yamamoto dari Jepun yang mengiringi lagu-lagunya silih berganti.

Terdahulu, tirai konsert dibuka oleh anak saudaranya iaitu Kaka Azraff dengan lagu Bukan Hal Aku dan Standing In The Eyes Of The World.

Ella bersama suaminya, Azhar Ghazali mendendangkan lagu Mendung Tak Bererti Hujan.

Selain Kaka, kumpulan Bunkface turut menghangatkan pembukaan dengan dua lagu iaitu Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda.

Ella memulakan persembahan dengan rangkaian lagu rancak iaitu Permata Biru, Justeru dan Bendera Damai.

Penyanyi yang kali terakhir muncul dalam konsert mega kira-kira 10 tahun lalu berduet dengan adiknya, Korie menerusi lagu hit mereka iaitu Pergilah Sayang.

Ella juga sempat berduet dengan suaminya Azhar Ghazali dalam lagu Mendung Tak Bererti Hujan yang pernah dirakamkan bersama penyanyi Indonesia, Deddy Dores pada awal 1990-an.

Ella melabuhkan tirai konsert anjuran Atlas One Events itu dengan lagu keramatnya Gemilang.

Biarpun pada awal kemunculan Ella dilihat seolah-olah agak semput membawakan lagunya namun ia tidak mematahkan semangat peminat beliau untuk menyokong konsert itu.

Man Kidal (kanan) dan Joe (Wings) turut mengiringi persembahan Ella.

Ia turut disaksikan beberapa selebriti tanah air seperti Erra Fazira, Fasha Sandha, Farahdhiya, Datuk Aznil Nawawi dan Jihan Muse.

Bertemakan anti dadah, konsert ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor.

Ella memulakan kerjaya nyanyian bersama kumpulan The Boys pada sekitar 1985 sebelum bergerak sebagai penyanyi solo tiga tahun kemudian.

Ella bermula dengan album solo pertama iaitu Pengemis Cinta yang diterbitkan pada 1989.

Bagaimanapun abum keempatnya iaitu ELLA 30110 (1992) dianggap sebagai album paling berjaya pernah diterbitkan kerana telah mencipta sejarah di Malaysia sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam masa amat singkat.

Sebagai penghargaan kepada peminat yang menyokong album itu, Ella menghadiahkan konsert solo iaitu Konsert Ella 30110 di Stadium Negara dekat sini dan berjaya menghimpunkan lebih 10,000 penonton.

Suasana dalam stadium ketika konsert berlangsung.
Kejayaan itu sekali gus meletakkan nama Ella sebagai penyanyi wanita popular pada tahun tersebut sehingga diangkat Artis Wanita Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular (Berita Harian) 1993.

Kejayaan Ella disusuli pula dengan pelaburan besar menerusi album Ella USA (1994). Kejayaan Ella USA yang mencapai jualan melebihi 350,000 unit melonjaknya sebagai artis paling berjaya sekitar 1994.

Dia juga pernah dipilih sebagai penyanyi Asia pertama menyanyikan lagu tema Sukan Komanwel pada acara sukan berlangsung pada 1998. Lagu Standing In The Eyes Of The World itu melonjakkan lagi namanya ke tahap lebih tinggi.

Kali terakhir Ella mengadakan konsert adalah pada Julai 2010 di Istana Budaya.

Konsert berskala kecil itu menggabungkannya dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Ella

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain