suria

Finalis APO2016: De Fam Jadi Hos 'Dangdut Star' Untuk Kukuh Kedudukan

De Fam mengakui terkejut apabila mereka tercalon menerusi kategori Grup Pilihan Online, Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016). Foto NORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Kumpulan yang popular menerusi lagu Super Girl iaitu De Fam yakin penglibatan mereka sebagai pengacara bersama program Dangdut Star dapat mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan tempatan.

Salah seorang anggotanya iaitu Manggis atau Nurshazwani Shamsuddin berkata, menerusi medium itu mereka dapat membuktikan De Fam tidak hanya tertumpu kepada peminat urban sebaliknya ingin berkongsi muzik dengan peminat daripada semua golongan.

"Selain bertindak sebagai pengacara bersama, De Fam akan mengadakan persembahan pembukaan pada setiap minggu. Ini adalah peluang kami untuk memperkenalkan diri kepada skala penonton yang lebih besar menerusi muzik kami.

"Kami ingin membuktikan bahawa kami bukan sahaja hanya tertumpu kepada sesuatu jenis muzik sebaliknya terbuka kepada kepelbagaian dalam menghiburkan penonton.

"Ini peluang kami untuk melebarkan sayap selain mencuba sesuatu yang baharu dalam karier kami dan setakat ini kami seronok menggalas tanggungjawab sebagai pengacara," katanya kepada mStar Online.

Selain Manggis, De Fam turut dianggotai oleh Azira Shafinaz Ramlan atau Azira dan Sophiatul Liana Mohamed Sobri (Sophia).

Dangdut Star akan bersiaran bermula 27 April ini, setiap Rabu pada pukul 9.30 malam di Astro Prima dan Mustika HD.

Dalam pada itu, Manggis berkata, antara sebab lain mereka menerima pelawaan mengacarakan program berkenaan adalah kerana meminati muzik dangdut.

De Fam bergandingan dengan Tauke (Jambu) mengendalikan Dangdut Star.

Bagaimanapun kata Manggis, mereka tidak berhasrat untuk mencuba genre berkenaan kerana sedar tiada kemahiran dalam muzik dangdut.

"Menyanyikan lagu dangdut bukan senang sebenarnya kerana ia memerlukan lenggok dan 'feel' yang berbeza.

"Kami setakat mengadakan persembahan Insya-Allah boleh tetapi untuk fokus rasanya kami biarkan orang profesional memberi tumpuan kepada genre itu," ujarnya.

Sementara itu, Manggis berkata, bagi menguatkan lagi jenama De Fam, mereka akan mengadakan promosi ke negara serantau bermula Singapura seterusnya Indonesia bermula Jun ini.

Malah katanya, sebagai strategi pemasaran mereka akan merakamkan semula single terbaharu mereka iaitu With You dalam bahasa Malaysia.

"Selain With You, kami juga sedang dalam proses mencari material terbaharu untuk single seterusnya dan kali ini kami akan memasukkan elemen tradisional dalam lagu kami.

"Malah kami berharap dapat berkolaborasi dengan lebih banyak artis tempatan pada masa hadapan," jelasnya.

De Fam mahu mengembangkan karier ke peringkat serantau.

With You adalah kolaborasi De Fam bersama Brandon Beal yang popular menerusi lagu Twerk It Like Miley.

Mengulas mengenai pencalonan pada Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) menerusi kategori Grup Pilihan Online, Manggis berkata, mereka tidak menyangka akan tercalon dalam top five dan bersyukur dengan berita berkenaan.

Kata Manggis, ia adalah jasa dan sokongan peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada karier seni mereka biarpun masih baharu dalam industri muzik.

"Kami pada awalnya memang tidak mengetahui De Fam tercalon dalam senarai lima teratas menerusi kategori berkenaan dan menganggap ia sebagai satu pencapaian besar buat kami.

"Alhamdulillah ia sebenarnya adalah kerja keras peminat yang tidak putus-putus menyokong dan mengundi kami," ujarnya.

Pengundian APO2016 masih dibuka dan boleh dibuat sehingga 27 April ini menerusi http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

APO2016 bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2.

Ia dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

De Fam, APo 2016, Dangdut Star

Artikel Lain