suria

Nubhan Mahu Ke Mekah Lagi, Tidak Serik Ditipu

Nubhan bersyukur umrah berjalan lancar.

PETALING JAYA: Penyanyi Nubhan Ahmad memberitahu dia merancang untuk kembali ke tanah suci Mekah menunaikan umrah sekali lagi biarpun berhadapan dengan pengalaman pahit apabila ditipu ejen umrah.

Nubhan, 30, berkata, ketenangan jiwa yang ditemui sepanjang proses menunaikan umrah selama 10 hari itu menghapuskan ingatannya terhadap pangalaman buruk yang menimpa dia dan ibunya.

"Saya tidak rasa pegalaman itu menakutkan saya untuk menunaikan umrah sekali lagi dan saya memang merancang untuk ke tempat suci itu sekali lagi bersama isteri saya pula.

"Bila sudah berada di sana kita lupa apa-apa perkara buruk yang berlaku sebelum ini dan apa yang difikirkan hanyalah untuk menunaikan ibadat sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Nubhan berkata demikian ketika ditanya tentang ibadah umrah yang dijalankan di Mekah pada 11 hingga 21 April lalu.

Nubhan bersama ibunya di tanah suci Mekah.

Terdahulu, Nubhan bersama seorang penyanyi Firman Basir terbabit dalam penipuan pakej mengerjakan umrah sehingga membuatkan mereka bersama 55 jemaah lain tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kerugian puluhan ribu ringgit.

Bagaimanapun, hasrat untuk menunaikan umrah terlaksana apabila syarikat pengurusan pakej umrah Tiram Travel dan seorang individu tampil menaja 37 jemaah menunaikan umrah.

Sementara itu, bercerita tentang tanah suci, Nubhan berkata, beberapa doa yang dimohon di beberapa tempat mustajab benar-benar dimakbulkan.

"Kita ke sana sudah tentu ada beberapa doa yang ingin dimohon terutama di tempat-tempat mustajab. Ia benar-benar terjadi kepada saya apabila salah satu doa itu benar-benar dimakbulkan di sana juga.

"Ia berkaitan dengan bisnes dan saya dapat berita gembira itu ketika di sana juga," ujarnya.

Selain itu, Nubhan berkata, dia bersyukur hasrat untuk membawa ibunya menjejakkan kaki di Mekah menggunakan wang hasil titik peluhnya selama ini akhirnya terlaksana.

Katanya, biarpun keadaan kesihatan ibunya ketika itu tidak begitu baik, namun dia gembira dapat membantu ibunya menunaikan ibadah itu hingga habis.

"Di sana kena jalan jauh dan ibu saya pula sakit kaki, jadi memang kemana-mana dia perlu menggunakan kerusi roda tapi Alhamdulillah semua ibadah kami tidak ketinggalan," ujarnya.

Nubhan Ahmad

Artikel Lain