KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera ada berjumpa dengan aktor Zizan Razak bagi membincangkan gosip yang tersebar mengatakan mereka kini sedang bercinta. Ummi, 26, berkata, dalam pertemuaan itu Zizan banyak menasihatinya agar tidak memperdulikan perkara berkenaan kerana ia lumrah sebagai anak seni. "Kami masing-masing sedar akan gosip itu dan saya ada berjumpa dengannya tetapi Zizan lebih tenang dan meminta saya tidak berasa bimbang kerana perkara itu tidak benar. "Bagaimanapun sejak gosip itu tersebar kami lebih berhati-hati kerana tidak mahu menimbulkan fitnah lain," katanya kepada mStar Online. Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem televisyen berjudul Angin Cinta di The Gardens di sini, Selasa. Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar ia turut menampilkan Zizan Razak, Zarina Zainuddin dan Shahronizam. Ia bakal menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 30 April ini dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam dari pembelian. Zizan dan Ummi bergandingan dalam filem televisyen berjudul Angin Cinta. Dalam pada itu, Ummi tidak menafikan selesa berkawan dengan Zizan kerana lelaki itu seorang sahabat yang baik. Pun begitu kata Ummi, selepas selesai bekerjasama menerusi Angin Cinta mereka jarang berjumpa atau berhubung menerusi telefon. "Zizan seorang yang baik dan mudah mesra jadi saya selesa berbual-bual dengannya. "Malah ketika kami disatukan dalam Angin Cinta saya bimbang juga tiada keserasian tetapi Zizan berjaya memecahkan jurang yang wujud meskipun kami baru bertemu," jelasnya. Sementara itu kata Ummi dia kini masih belum terfikir soal cinta kerana keutamaannya kepada karier lakonannya. "Setakat berkawan-kawan dan berkenalan itu adalah dan ia perkara biasa tetapi untuk bercinta memang tidak buat masa ini," ujarnya. Bercakap mengenai Angin Cinta, Ummi berkata, ia adalah sebuah filem romantik komedi bertemakan cinta dan kekeluargaan. Kata Ummi, ia sebuah karya yang sarat dengan pengajaran biarpun berkonsepkan ringan dan menerima tawaran tersebut kerana tertarik dengan jalan ceritanya. "Jika sebelum ini ada sering bawa watak berat tetapi menerusi Angin Cinta ia sebuah filem ringan tetapi jalan ceritanya cukup menarik. "Zizan juga banyak membantu kerana filem komedi memang kepakarannya tetapi keserasian kami membuatkan saya lebih seronok menjayakan filem ini," jelasnya. Tambah Ummi, dia juga sedang menjalani penggambaran file televisyen keduanya bersama Astro berjudul Bisik Pada Langit yang menggandingkannya bersama Jalil Hamid, Beto Kusyairi dan Datin Fadilah Mansor.