PETALING JAYA: Penyanyi rap SonaOne tidak berasa malu untuk mengakui dia adalah anak manja ibunya, June Lozach dan menganggap wanita berkenaan sebagai teman baiknya. SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 27, berkata, dia sentiasa menjadikan ibunya sebagai tempat rujukan sekiranya mempunyai sebarang masalah dan wanita berkenaan sentiasa ada untuknya. "Jika ditanya siapa sahabat saya, ibu adalah teman terbaik saya. "Saya boleh bercakap hampir tentang semua perkara dengannya. Jika ada sebarang masalah ibu adalah tempat rujukan," katanya. Dalam pada itu, SonaOne berkata, dia turut menulis sebuah lagu khas buat wanita berkenaan menerusi album terbaharunya, Growing Up Sucks berjudul Mama's Boy. Katanya, lagu berkenaan adalah tentang perjalanan hubungan mereka dan ia adalah sebuah lagu tribut untuk ibunya. "Jika peminat mendengar album terbaharu saya mereka akan faham tentang perjalanan yang perlu mereka tahu tentang hubungan saya dan ibu. "Dia adalah peminat nombor satu saya dan tidak pernah berhenti daripada memberi sokongan tidak kira betapa besar atau susah impian saya. "Saya menulis lagu ini untuknya dan untuk semua 'anak ibu' di luar sana kerana saya tidak keseorangan!," katanya. Sementara itu, SonaOne turut menampilkan ibunya dalam muzik video lagu berkenaan yang baharu sahaja dilancarkan pada Jumaat lalu sebagai memberi penghargaan kepada wanita berkenaan bersempena Hari Ibu yang disambut pada Mei ini. Video arahan Eman Azrin Azhar itu turut menampilkan rakaman video SonaOne bersama ibunya ketika dia masih kecil.