suria

Isu Surat Kepada Menteri, Jurey Kesal Enggan Pertahankan Jawatan

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Jurey Latiff Rosli (kiri) dan Ketua Pengarah Perbadanan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman bersalaman bagi menunjukkan tanda perdamaian sambil disaksikan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang juga Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Yusof Haslam pada sidang media khas yang diadakan di Hulu Klang pada Rabu.
KUALA LUMPUR: Isu surat daripada Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Jurey Latiff Rosli kepada seorang menteri yang kecoh diperkatakan membuatkan beliau berhasrat untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam mana-mana persatuan seni pada pemilihan akan datang.

Jurey berkata tindakan itu difikirkannya selepas berasa kesal niatnya untuk membela nasib pihak dalam industri dibalas dengan kritikan dan hinaan selepas dia menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKM), Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak mempersoalakan beberapa perkara termasuk hal dalaman Finas.

"Saya tidak akan mempertahankan jawatan saya dalam mana-mana persatuan selepas ini malah ahli boleh pecat atau buat undi tidak percaya terhadap kepimpinan saya.

"Kecaman yang saya terima berhubung isu ini cukup berat untuk sesiapa pun terima. Tujuan saya untuk membantu industri nampaknya dipandang hina oleh orang lain.

"Sudah tiba masanya saya memberi tumpuan kepada perniagaan dan keluarga kerana biarlah wajah baru pula mengambil tampuk pimpinan dengan idea lebih bernas dalam memantapkan lagi industri seni di negara ini," katanya kepada mStar Online.

Jurey ditemui pada sidang media mengenai maklum balas Finas dan Gafim berkaitan isu semasa yang diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee Finas di sini, Rabu.

Selain Gafim, Jurey juga adalah presiden Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang juga Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Yusof Haslam.

Yusof bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kelemut yang berlaku.

Jurey dan Kamil  berjata menyelesaikan salah faham yang timbul.

Terdahulu, Jurey menerima kritikan hebat apabila segelintir penggiat seni melancarkan kempen menggunakan hastag #kamisokongkamil sebagai tanda protes terhadap tindakan Jurey menghantar surat berkenaan kepada menteri.

Tindakan itu juga telah menyebabkan lima persatuan di bawah Gafim iaitu Persatuan Pengarah Filem Malaysia (Fdam), Persatuan Pekerja Filem Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografi Malaysia (Mysc)dan Persatuan Pos-Produksi dan Animasi Malaysia (Postam) bertindak keluar daripada gabungan itu.

Dalam pada itu, Jurey berkata, dia mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakannya menghantar surat berkenaan dan tetap dengan pendiriannya selain menyifatkan apa yang dilakukan adalah perkara biasa untuk masa depan industri perfileman tempatan.

Bagaimanapun kata Jurey, tuduhan yang mengatakan tindakannya itu kerana ingin menjatuhkan Kamil dan merampas kedudukan sebagai Ketua Pengarah Finas adalah fitnah.

"Walaupun teruk dihentam tetapi saya akan bertanggungawab terhadap perkara yang telah berlaku dan ia bukan satu kesalahan cuma persoalannya di sini bagaimana surat berkenaan boleh tersebar wahal ia sulit.

"Ini bukan serangan peribadi atau pun soal ingin merebut jawatan Kamil tetapi tujuan saya jelas iaitu ingin membantu menyelesaikan beberapa isu yang masih belum selesai.

"Pada akhirnya bukan saya yang dapat habuan tetapi ia akan dinikmati oleh seluruh industri namun malangnya saya dijadikan korban dengan pelbagai tuduhan cukup mengguris hati," jelasnya.

Sementara itu, Jurey berkata, dia dan Kamil telah bertemu pada Isnin lalu untuk menyelesaikan salah faham yang timbul termasuk memberi penjelasan tentang surat yang dihantar kepada menteri.

Kata Jurey, pertemuan berkenaan berlangsung dengan baik dan segala salah faham telah pun diselesaikan selain menyifatkan isu berkenaan mempunyai hikmah disebalik kejadian.

"Saya kenal dengan Kamil sudah lama dan isu yang timbul bukan kerana soal peribadi dan Alhamdulillah pertemuan berlangsung dengan baik malah kami sepakat tentang bantuan yang kami boleh berikan untuk membantu industri.

"Apa yang paling penting kini kami sama-sama komited dengan peranan masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kamil berkata, tiada sebarang keperluan untuk mendedahkan isu kandungan surat berkenaan kepada umum kerana menganggap isu berkenaan sudah berlalu.

Malah kata Kamil, pihak Finas sentiasa terbuka dengan sebarang aduan daripada mana-mana persatuan dan akan cuba membantu menyelesaikan masalah yang timbul.

"Tidak perlu diperbesarkan lagi isu ini dengan mendedahkan butiran surat berkenaan kerana paling penting ia telah diselesaikan secara baik.

"Keutamaan kami sekarang adalah untuk mengadakan lebih banyak perbincangan dan cuba menyelesaikan masalah yang bukan sahaja melibatkan Finas sahaja tetapi dengan bantuan persatuan.

"Kita perlu bangkit bersama-sama kerana apa yang dilakukan oleh Jurey adalah semata-mata untuk membantu memajukan industri," ujarnya.

Artikel Lain