suria

Linda (Eva) Ulang-Alik Ke Indonesia Kerana Dangdut

Linda (kanan) bersama anak buahnya iaitu Aiman Tino yang juga seorang penyanyi baru.

PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan dangdut Eva iaitu Linda  terpaksa berulang-alik ke Indonesia sejak Mac lalu dalam usaha mencari bahan terbaik untuk menyiapkan single terbarunya berkonsepkan Rock Dangdut yang dijangka akan siap penghujung Mei ini.

Linda atau nama sebenarnya Norhaslinda Ishak mengakui sejak meninggalkan Eva pada tahun 2012, dia nekad untuk bergerak secara solo bagi memperjuangkan irama dangdutnya  dalam situasi penerimaan genre dangdut yang dilihat semakin malap.

“Tidak ramai yang tahu tentang kemunculan solo saya sejak dua tahun lalu kerana saya banyak menjayakan show tertutup seperti dinner dan korporat.

“Sehinggalah pada Mac lalu secara tidak sengaja saya ditemukan dengan Pakcik Ujang Leo, seorang penyanyi dan komposer tempatan di mana karya dan albumnya mendapat penerimaan yang baik di Indonesia.

“Dialah yang mencadangkan saya untuk berkolaborasi dengan seorang penyanyi dangdut di begara itu di mana segala urusan rakaman studio diuruskan oleh beliau,” katanya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, kata Linda ada sebab kenapa dia menjalani proses rakaman di negara tersebut dan salah satunya kerana genre dangdut itu sendiri sememangnya berakar-umbi dari Indonesia.

Di satu sisi, Linda menjelaskan tidak timbul soal tidak menaruh kepercayaan pada kredibiliti komposer tempatan kerana lagu yang dirakam tersebut bukanlah ciptaan komposer luar, tetapi anak tempatan sendiri.

“Mungkin ada sesetengah pihak yang salah faham memikirkan saya mendapat khidmat daripada komposer luar.

"Sebenarnya tidak. Proses rakaman sahaja di sana tetapi karya adalah sentuhan anak tempatan iaitu Pakcik Ujang Leo yang diakui kehebatannya oleh penggiat-penggiat seni di Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Linda turut menyertai Persatuan Kelab Dangdut Malaysia yang dipengerusikan oleh penyanyi Ifa Raziah di mana mereka akan mengadakan sebuah siri konsert jelajah dangdut sekitar Mei ini.

Ia melibatkan tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Thailand.

Selain itu, Linda turut mengurus dan memantau perjalanan seni anak saudaranya Aiman Tino, 18, yang kini popular dengan lagu 'Ku Rela Dibenci'.

Aiman Tino merupakan artis rakaman di bawah label Aries Music Production.

Eva sebelum ini dianggotai empat anggota wanita iaitu Linda, Rina, Izu dan Mimi.

Mereka cukup popular dengan lagu Bulan Cinta di mana lagu tersebut pernah dicalonkan dalam Anugerah Juara Lagu 1996.

Linda Eva

Artikel Lain