suria

"Deejay Kampung Inilah Popular" - DJ Lin

DJ Lin anggap kemenangan di ABPBH29 sebagai balasan kesabarannya.

PUTRAJAYA: Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berjanji tidak sesekali akan bersikap 'diva' selepas berjaya memenangi kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29) pada Ahad lalu.

Lin, 40, berkata, dia mahu terus mengamalkan sikap rendah diri seperti mana DJ Lin yang dikenali ketika awal kemunculannya dalam industri radio pada 16 tahun lalu.

"Saya tidak akan bersikap diva selepas menang anugerah ini, saya akan sentiasa seperti DJ Lin yang orang kenal 16 tahun lalu.

"Pada saya sikap rendah diri yang saya amalkan hari ini menjadi bonus kepada saya sendiri sehingga peminat memberi kepercayaan untuk meletakkan saya pada tahap ini," ujarnya kepada mStar Online.

Lin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kemenangannya dalam kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH29) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada malam Ahad.

Dia sekali gus mengenapikan pesaing terdekatnya Abby Fana (Sinar FM), Feeya Iskandar (Sinar FM), Fizie (Hot FM) dan Deen (Hot FM).

Ia merupakan kemenangan pertamanya dalam anugerah anjuran akhbar berkenaan.

Sebelum ini Lin pernah memenangi Penyampai Radio Terbaik, Anugerah Seri Angkasa.

Pada Anugerah Pilihan Online anjuran Star Media Group pada 30 April lalu, Lin hanya tersenarai dalam lima finalis selepas tewas kepada Fara Fauzana bagi kategori Penyampai Radio Pilihan Online.

Dj Lin ketika mengambil anugerah dalam kategori yang dimenanginya Penyampai Radio Popular.

Dalam pada itu, Lin berkata, kemenangannya di ABPBH29 itu turut membuktikan penyampai yang sebelum ini digelar sebagai deejay kampung juga mampu meraih populariti dan berada di puncak.

Malah katanya, segmen yang dikatakan memutarkan lagu kampung iaitu Suria Cinta yang bersiaran pada pukul 8 malam sehingga 1 pagi itu juga menjadi program paling lama pilihan pendengar.

"Tidak kisahlah orang nak cakap saya macam deejay kampung sekali pun, janji saya sudah buktikan deejay kampung inilah yang popular.

"Bukan saya sahaja, mengikut kajian juga lagu-lagu yang saya putarkan yang dikatakan lagu-lagu kampung itulah menjadi pilihan tertinggi pendengar radio," ujarnya.

Sementara itu, mengimbau kerjayanya sebagai penyampai radio, Lin berkata, sepanjang tempoh 16 tahun itu dia melalui pelbagai rintangan dan dugaan.

Katanya, dia sendiri tidak pernah menyangkakan boleh mencapai hingga pada tahap tertinggi seperti ini.

"Kalau difikirkan semula memang banyak sangat yang saya lalui pada awal bergelar penyampai radio, saya pernah menjadi publisis, pegawai perhubungan awam dalam masa yang sama juga sebagai penyampai sebelah malam.

"Saya melaluinya dalam tempoh masa yang panjang juga hingga ada masa-masa yang saya rasa tidak kuat sehingga menangis. Saya rasakan apa yang saya peroleh hari ini adalah rezeki Allah terhadap kesabaran dan keikhlasan saya dalam kerjaya ini," ujarnya.

Suria Cinta
  bersiaran di Suria FM pada pukul 8 malam sehingga 1 pagi pada setiap hari Ahad sehingga Jumaat.
DJ Lin, ABPBH29

Artikel Lain