suria

Diana Danielle Alami Kerugian Ketika Restoran Mula Dibuka

Diana Danielle mengalami kerugian hampir RM20,00 apabila kafe miliknya bersama tiga lagi rakan kongsi dipecah masuk. Foto LOW BOON TAT
KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat kafe miliknya bersama tiga lagi rakan kongsi iaitu Born & Bread's dipecah masuk.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 25, berkata, kejadian berlaku semasa restoran tersebut menjalani proses pengubahsuaian pada akhir tahun lalu.

"Cabaran terbesar semasa proses membuka kafe ini apabila beberapa barang yang akan digunakan untuk kerja pengubahsuaian telah dicuri.

"Biarpun tidak banyak barang yang dicuri tetapi anggaran kegurian hampir RM20,000," katanya kepada mStar Online.

Diana bersama rakan kongsinya, Arslan Zolkifli (kiri) dan Farhana Osman.

Diana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kafe berkenaan di sini, Khamis.

Tiga lagi rakan kongsi Born & Bread's adalah Arslan Zolkifli, Farhana Osman dan Khalil Firuz.

Tambah Diana, akibat kejadian itu, mereka mengupah pengawal keselamatan untuk menjaga bangunan tersebut ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

Dalam pada itu, Diana berkata, disebalik pelbagai dugaan membuka kafe berkenaan dia berasa puas kerana pada akhirnya dapat melihat usaha kerasnya bersama rakan kongsi akhirnya terbayar.

"Saya tidak pernah menyangka mampu sampai ke tahap ini kerana banyak cabaran yang kami sama-sama lalui tetapi perancangan selama dua tahun sangat berbaloi.

Diana optimis dengan perniagaan dalam bidang makanan.

"Alhamdulillah suami pun banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang proses membuka Born & Bread's," katanya.

Sementara itu, Diana berkata, dia tidak mempunyai alasan tertentu memilih untuk melabur dalam perniagaan restoran sebaliknya mengikut kata hati.

Kata Diana, dia tertarik dengan konsep kafe berkenaan yang bukan sahaja menyediakan makanan enak tetapi ia sebuah tempat untuk mengeratkan hubungan di antara rakan-rakan dan keluarga.

"Kami juga ada menyediakan ruang untuk kanak-kanak, persembahan komedi pada hujung minggu selain menu yang pelbagai sesuai dengan cita rasa pelanggan.

"Saya rasa cukup berbaloi dengan pelaburan yang saya buat dan melihat hasilnya yang semakin berkembang maju sejak ia dibuka pada 31 Januari lalu," ujarnya.

Diana Danielle, Born & Bread's

Artikel Lain