PETALING JAYA: Selepas melancarkan album keempatnya, penyanyi Black kini muncul dengan single terbaharunya berjudul Anugerah Terindah. Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, berkata, lagu ciptaan Omar K ini menampilkan muzik yang lebih matang bersesuaian dengan pengalamannya selama tujuh tahun dalam industri seni suara. "Lagu ini tidak termasuk dalam lagu-lagu dalam album yang saya lancarkan bulan lalu, ia merupakan single baru ciptaan sepenuhnya Omar K. "Ia sedikit berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini kerana menampilkan suara yang lebih matang dan penyampaian yang agak santai," ujarnya. Bercerita tentang lagu berkenaan, Black berkata, ia mengisahkan sudut pandang seorang lelaki yang mencintai seorang wanita, namun memilih untuk menyimpan perasaan tersebut. Katanya, ia secara tidak langsung boleh menjadikan lagu ini sebegai medium untuk meluahkan perasaan dan isi hati kepada orang tersayang. "Walaupun ianya sebuah topik yang tipikal, masyarakat kita sememangnya gemar menggunakan lagu sebagai medium untuk memperjelaskan isi hati masing-masing. "Apa yang saya harapkan agar lagu ini mendapat sambutan masyarakat dan kalau boleh biar ia menjadi viral di media sosial,” ujarnya. Sementara itu, pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar bertanggungjawab menghasilkan video muzik untuk lagu berkenaan yang menjalani penggambaran di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia, Lumut, Perak. Penerbitan single terbaru Black ini merupakan projek usahasama di antara Monkey Bone Records dan Seventeen Eleven Music.