PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah memberitahu dia sering berasa serba salah untuk menjawab soalan berkaitan teman hidup kerana terpaksa memberi jawapan yang disifatkan sebagai klise. Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 36, berkata, dia bukan cuba mengelak daripada menjawab tentang perkara peribadi sebaliknya ia adalah hakikat bahawa dia masih solo. "Sejak dahulu lagi apabila diajukan soalan tentang cinta atau teman hidup jawapan saya tetap sama iaitu belum ada. "Saya sedar ia jawapan klise tetapi itulah hakikat sebenar saya sekarang dan sekiranya ada Insya-Allah saya akan kongsi dengan semua," katanya kepada mStar Online. Dayang berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-dengar single terbaharunya berjudul Lelaki Teragung di pejabat urusan Indigital Music di sini, Isnin lalu. Dayang tampil dengan single berjudul Lelaki Teragung. Tambah Dayang, tuntutan terhadap karier seninya yang semakin padat sejak kebelakangan ini turut membuatkannya tidak terlalu memikirkan soal cinta. Dalam pada itu, Dayang menyangkal lagu terbaharunya itu mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya. Sebaliknya kata Dayang, Lelaki Teragung yang digubah oleh komposer baharu iaitu Tasha dan lirik oleh Iman Imran adalah interprestasi mengikut situasi tertentu yang sedang dilalui oleh seseorang. “Jujur, liriknya tiada kaitan dengan kisah hidup saya tetapi saya cuba fahami liriknya yang mengisahkan bagaimana seorang lelaki cuba memenangi hati seorang wanita dicintainya atas beberapa masalah dan konflik dilaluinya. “Syukur, atas bimbingan dan bantuan komposer dan penulis lirik termasuk syarikat pengurusan saya mampu meletakkan perasaan dan emosi di dalam lagu ini sebaik mungkin," ujarnya. Dayang turut berharap lagu berkenaan mendapat tempat dihati peminat seperti mana dua single terdahulu iaitu Di Pintu Syurga dan Langit Cinta. Lelaki Teragung juga bakal menjadi lagu tema bagi drama bersiri Tujuh Hari Mengenal Cinta yang bakal bersiaran menerusi slot Akasia TV November depan.