suria

Stacy Kongsi Pengalaman Lemah Badan Belajar Puasa

Akim dan Stacy kini duta terbaharu jenama makanan Kit Kat. Foto: BRIAN MOH

PETALING JAYA: Penyanyi Stacy pernah mengalami demam dan sakit kepala akibat terlalu lemah dan kekurangan air dalam badan gara-gara mahu berpuasa pada tahun lalu.

Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, berkata, ketika itu dia cuba untuk mendekati cara hidup Islam dan perkara itu mewujudkan rasa hormatnya kepada masyarakat muslim yang boleh bertahan melalui ibadat puasa selama sebulan.

"Dua hari saya cuba menahan lapar dan dahaga, masuk hari ketiga saya terus demam. Apa-apa pun itu satu pengalaman paling berharga dalam hidup saya.

"Berbeza sebelum mendalami Islam, kalau boleh saya nak tunggu hari raya saja sebab kawan-kawan saya sememangnya ramai beragama Islam.

"Tapi sekarang situasinya berbeza di mana rasa teruja untuk sambut Ramadan itu datang sendirinya dan suami saya terus memberi semangat untuk saya sempurnakan puasa, Insya-Allah," katanya kepada mStar Online.

Stacy bersama Akim ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan mereka sebagai duta terbaru Kit Kat untuk kempen 'Jalan-Jalan Breakers' di Menara Surian, Damansara, di sini, Jumaat.

Akim bahagia bersama Stacy.

Dalam perkembangan yang sama, kata Stacy dia tiada masalah untuk ke dapur menyediakan sajian berbuka puasa buat suami  kerana sudah terbiasa dengan perkara itu di awal pernikahan lagi.

"Tidak susah nak jaga Akim sebab dia tidak terlalu cerewet soal makan. Contohnya kalau dia dah mula makan nasi lemak, dia akan ulang menu itu adakalanya sampai seminggu dengan menu yang sama.

"Bulan Ramadan nanti saya tetap akan masakkan menu kegemarannya seperti masak asam pedas, masak lemak ayam dan masak asam rebus nanas.

"Kalau tidak punyai masa, barulah kami akan ke bazar Ramadan," katanya.

Sementara itu sebagai suami, Akim atau nama sebenarnya Akim Ahmad, 25, berkata, tahun pertama berpuasa sebagai pasangan suami isteri, dia turut berasa teruja untuk melalui pengalaman pertama berbuka puasa.

"Saya nampak dia teruja nak sambut puasa dan sebagai suami saya akan bantu dia memberi semangat untuk terus bertahan dan mengajar makan waktu bersahur kerana di situlah keunikan bulan Ramadan," ujarnya.

Bagaimanapun kata Akim, dia tidak memaksa seandainya isterinya itu tidak larat untuk ke dapur menyediakan juadah berbuka kerana dia faham itu adalah pengalaman pertamanya untuk sempurnakan ibadah puasa.

Umat Islam dijangka berpuasa pada 6 Jun depan.

Sementara itu menyentuh tentang perkembangan seni mereka, kata Akim selain sibuk memenuhi undangan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, mereka akan terus memberi kerjasama kepada pihak Nestle' (Malaysia) dalam rangka mempromosikan kempen terbaru KitKat 'Jalan-Jalan Breakers'.

Selain itu, Akim dan Stacy kini dalam proses mencari material terbaik untuk sebuah lagu duet mereka yang akan diberi perhatian selepas hari raya nanti.

Stacy, Akim

Artikel Lain