suria

Pernah Sertai Pertandingan Dangdut Indonesia Bawa Tuah Buat Fitri

Fitri memberitahu pengalamannya menyertai pertandingan D'Academy Asia Indosiar pada tahun lalu banyak membantunya dalam mengatur strategi bagi merebut gelaran juara Dangdut Star. Foto AZLINA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Juara program Dangdut Star musim pertama iaitu Fitri memberitahu pengalamannya menyertai pertandingan D'Academy Asia Indosiar pada tahun lalu banyak membantunya dalam mengatur strategi bagi merebut gelaran juara pertandingan itu.

Fitri atau nama sebenarnya Fitri Hiswady Hasan Nordin, 26, berkata, tekanan dan kritikan yang diterimanya ketika menyertai pertandingan berkenaan di Jakarta, Indonesia banyak memberinya peluang untuk memperbaiki mutu persembahan dalam menjadi seorang penyanyi dangdut yang lebih baik.

"Ketika menyertai program itu saya berasa kecil sangat kerana peserta dari Indonesia semuanya hebat-hebat belaka dan sukar untuk mencapai tahap mereka.

"Walaupun tidak memenangi pertandingan itu tetapi pengalaman yang saya dapat cukup banyak dan saya gunakan dalam Dangdut Star yang diadakan di negara kita.

"Alhamdulillah segala usaha saya akhirnya terbayar dan saya menganggap kemenangan ini sebagai rezeki saya," katanya kepada mStar Online.

Fitri ditemui pada majlis tayangan rakaman peringkat akhir Dangdut Star yang diadakan di Saloma Bistro di sini, Rabu.

Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali, (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Dangdut Star.

Dengan kemenangan itu, Fitri menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta pakej percutian ke Sydney, Australia selama lima hari empat malam untuk dua orang dan trofi.

Program berkenaan ditaja oleh pengelaur produk kesihatan Jamu Mak Dara.

Dalam pada itu, Fitri berkata, dia juga menganggap kemenangannya sebagai menebus kekalahan ketika menyertai D'Academy Asia Indosiar yang menyaksikan dia hanya mara sebagai peserta empat terbaik.

Bagaimanapun kata Fitri, dia masih menganggap kedudukan berkenaan sebagai kejayaan besar kerana ketika itu dia satu-satunya peserta dari Malaysia yang bukan dari kalangan penyanyi profesional.

"Jujur saya katakan kelebihan saya sebenarnya menerusi genre tradisional dan pop malah saya sendiri tidak mengetahui saya sebenarnya ada kebolehan menyanyikan lagu dangdut.

"Tetapi selepas menyertai pertandingan itu saya sedar irama dangdut adalah kelebihan saya dan sejak itu saya nekad untuk teruskan dengan muzik berkenaan.

"Kemenangan ini juga sebagai saya tebus balik kekurangan dan kekalahan sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Fitri berkata, dia tidak perlu berasa malu sekiranya dilabel sebagai penyanyi dangdut kerana itu adalah dirinya sekarang.

Tambahnya, dia ingin meneruskan legasi generasi terdahulu sekali gus mengangkat irama dangdut ke tahap lebih tinggi dalam industri muzik tempatan.

"Saya tidak perlu rasa malu malah patut bangga kerana menjadi hasrat saya untuk merancakkan kembali genre ini tambahan pula penyanyi dangdut lelaki memang kurang selepas Iwan.

"Saya juga ingin bawa perubahan dengan menambah elemen teater muzikal dalam persembahan lagu dangdut pada masa akan datang seperti mana saya lakukan dalam beberapa persembahan ketika bertanding dalam Dangdut Star.

Juara Dangdut Star iaitu Fitri (dari kanan) bersama naib juara, Elda Susanti dan pemenang ketiga, Muhd Firdaus Mohd Mustapha atau Jiwa.

Dalam perkembangan sama, juri progran itu, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah berkata, Fitri mempunyai kualiti dan pakej lengkap bukan sahaja sebagai penyanyi dangdut tetapi juga penghibur.

Katanya lagi, pada peringkat akhir itu dia telah memberikan persembahan luar biasa selain konsisten sepanjang pertandingan berlangsung.

"Kita lihat pada peringkat akhir itu kekuatan vokalnya ditambah dengan persembahan luar  kotak membuatkan dia meninggalkan peserta lain di belakang.

"Fitri mempunyai X factor yang kami cari dalam seorang penyanyi dan dia mempunyai semua elemen berkenaan," katanya.

Tambah Pak Ngah, sebagai permulaan dia bakal mencipta sebuah lagu hari raya untuk Fitri dan naib juara Dangdut Star Elda Susanti yang akan dilancarkan pada bulan Ramadan nanti.

Selain itu, Fitri juga akan tampil dengan single pertamanya di bawah terbitan Astro.

Juara Dangdut Star membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000, trofi dan pakej percutian ke Sydney, Australia.

Fitri, Dangdut Star

Artikel Sebelum

Artikel Lain