PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berkata, kerinduan menjual kuih pada zaman remaja menyebabkan hatinya pernah terdetik untuk membuka gerai menjual kuih di hadapan rumahnya di Ampang, dekat sini pada bulan Ramadan. Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, 37, berkata, perasaan sebegitu timbul memandangkan dia bersama adik-beradiknya pernah berniaga kuih-muih di bazar Ramadan sambil menyaksikan kemeriahan orang ramai mencari juadah berbuka. "Tidak dinafikan sesekali datang perasaan rindu nak berniaga seperti dulu apatah lagi pembantu rumah saya sememangnya pakar memasak dan berkebolehan membuat kuih-muih. “Perkara ini membuatkan hati saya beberapa kali terdetik nak membuka sebuah gerai kecil-kecilan menjual kuih-muih di depan rumah sekarang ini. "Tetapi tidak pula saya suarakan hasrat itu kepada suami, sekadar terniat di hati sendiri,” kata Siti Nurhaliza kepada mStar Online. Siti mengakui berasa rindu untuk berniaga seperti yang pernah dilakukannya ketika zaman remaja. Menurut Siti, disebabkan kesibukan kerjayanya, maka dia terpaksa memendam perasaan berkenaan. Bagi melepaskan rindu suasana lampaunya Siti akan ke bazaar Ramadan bagi mencari makanan dan kuih kegemarannya seperti karipap, apam balik dan ayam percik. Siti menjelaskan sekali pun ke bazar Ramadan dianggap satu terapi kerana dapat melihat juadah di hadapan mata, dia terpaksa membataskan keinginan itu kerana mudah timbul rasa kesian dan serba salah apabila ramai peniaga mula memanggilnya membeli juadah di gerai mereka. “Suatu ketika kita pernah berada di tempat mereka dan saya faham perasaan mereka amat mengharapkan kita membeli di gerai mereka. "Bagi mengelakkan rasa serba-salah itu, saya hadkan waktu ke bazar Ramadan. "Paling tidak saya hanya tunggu di kereta dan sesekali membuka tingkap menegur makcik-makcik berniaga,” ujar Siti. Menurut Siti, selama berpuasa di Kuala Lumpur dia sukar mendapatkan sejenis kuih kegemaran iaitu karipap sira pedas yang lazimnya ditemui di bazar-bazar di kampungnya di Kuala Lipis, Pahang. Sebagai ganti, dia hanya akan membeli popia berinti pedas kerana rasanya seakan-akan sama, cuma tidak sesedap karipap sira pedas yang diidamkan. Bercerita tentang kerjaya seni, biarpun masih dalam tempoh beristirehat menyertai aktiviti berbentuk nyanyian, Siti sempat merakamkan sebuah lagu Hari Raya bersama komposer Pak Ngah Suhaimi berjudul Hari Kemenangan. "Kami sangat teruja bila dapat bekerjasama semula setelah 10 tahun. "Istimewanya lagu raya kali ini, kami sepakat tidak lagi mahu gunakan bait-bait klise seperti ketupat lemang, juadah, bertandang dan sebagainya tetapi liriknya lebih berat namun masih sesuai untuk suasana hari raya," katanya.