suria

Awal Ashaari Ke Mekah Selepas Empat Tahun Berhajat

Impian pengacara Awal Ashaari untuk membawa keluarganya mengerjakan umrah akhirnya terlaksana.
PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari tidak menyangka impiannya untuk ke Tanah Suci pada bulan Ramadan akhirnya terlaksana apabila dia bakal berangkat ke Mekah untuk menunaikan Umrah pada 12 hingga 22 Jun depan.

Awal berkata, pemergian ke Tanah Suci turut disertai oleh isterinya, aktres Scha Al-Yahya dan anak mereka Lara Alana selain beberapa ahli keluarga yang lain.

"Sebenarnya perancangan untuk buat umrah sudah dirancang sejak empat tahun lalu ketika saya dan Scha baru berkahwin.

"Bagaimanapun hasrat itu sentiasa tertangguh kerana kesibukan terhadap komitmen kami terhadap kerja.

"Alhamdulillah rupa-rupanya Allah hendak bagi rezeki pergi ke sana pada bulan Ramadan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Awal berkata, perancangan untuk mengerjakan umrah dibuat pada saat terakhir dan tidak menyangka ada kekosongan untuk mereka sekeluarga.

Awal bersama isteri dan anaknya akan berangkat ke tanah suci Mekah.

Kata Awal, dia menganggap ia sebagai satu rezeki apabila urusan tersebut dipermudahkan meskipun rancangan sebelum ini beberapa kali tidak menjadi.

"Kalau belum sampai tiba masanya pasti akan ada sahaja halangan tetapi apabila rezeki itu dibuka oleh Allah perancangan menjadi mudah.

"Alhamdulillah meskipun perancangan saat terakhir tetapi semuanya berjalan lancar dan kami sekeluarga tidak sabar untuk ke sana," ujarnya.

Sementara itu, Awal berkata, ditetap akan membawa anaknya ke Mekah kerana enggan berjauahan terlalu lama selain dapat membawa Lara melawat ke tempat-tempat sejarah Islam di sana kelak.

"Pembantu saya juga akan ikut, jadi ketika kami buat umrah Lara akan tinggal di bilik hotel sahaja dan hanya membawanya ke tempat-tempat bersejarah jika keadaan mengizinkan.

"Apa yang paling penting Lara ada bersama kami kerana saya dan Scha memang tidak boleh berjauhan terlalu lama dengan anak," jelasnya.

Scha Al Yahya, Awal Ashaari

Artikel Lain