PETALING JAYA: Pelakon baharu Falisha Crossley memberitahu dia reda apabila beberapa watak yang ditawarkan kepadanya terpaksa dilepaskan berikutan keputusannya untuk berhijab. Falisha, 31, berkata, dia akur dengan keputusan itu dan memahami tuntutan pihak produksi untuk mencari pelakon yang menepati watak yang digambarkan dalam skrip. "Saya ambil keputusan bertudung ini selepas saya habiskan semua drama terdahulu iaitu sehingga sebelum Ramadan, jadi ada tawaran yang datang pada Ramadan ini saya beritahu mereka imej terbaru saya kini bertudung. "Kemudian mereka telefon semula beritahu terpaksa cari pelakon lain yang tidak bertudung, ada kira-kira empat juga tawaran yang datang tapi saya faham perubahan perlukan masa," ujarnya kepada mStar Online. Falisha Crossley reda dan percaya pada rezeki Allah. Falisha ditemui pada majlis pelancaran tudung Warisan Dayang yang diadakan di Hotel Shangri La di sini, baru-baru ini. Dalam pada itu, Falisha berkata, dia percaya rezeki yang lebih baik akan datang selepas dia membuat perubahan ke arah kebaikan. Sementara itu, ditanya tentang foto-foto tidak bertudung, Falisha berkata, setakat ini dia tidak terfikir untuk membuang daripada laman sosial peribadinya. Katanya, foto-foto berkenaan merupakan perjalanan hidupnya sebelum ini. "Ramai pengikut di laman sosial bertanya tentang itu dan menyuruh saya padam gambar-gambar lama, tapi saya belum lagi terfikir untuk itu. "Gambar-gambar itu sebagai perjalanan kerjaya saya dalam bidang seni dan kebanyakkannya tidak keterlaluan atau seksi," ujarnya. Dalam pada itu, Falisha berkata, dia juga sedang mengumpul semula baju-baju lamanya yang tidak bersesuaian untuk dijual semula dan diberikan kepada golongan tertentu. "Baju saya banyak sangat, ada yang orang bagi dan ada yang tidak sesuai untuk dipakai. Jadi saya fikir untuk jual semula kepada yang berminat. "Ada juga saya asingkan untuk diberikan kepada mangsa bencana alam," ujarnya.