KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Umbrella iaitu Zarul Husin merancang untuk meninggalkan kerjayanya sebagai pramugara Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi menumpukan perhatian terhadap bidang nyanyian sepenuhnya. Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 43, berkata, dia memberi tempoh masa sehingga akhir tahun ini untuk mengakhiri kerjaya yang sudah 16 tahun dilakukan. "Insya-Allah saya akan menumpukan kepada bidang nyanyian sepenuh masa dan meninggalkan kerjaya sebagai pramugara. "Saya sudah fikir masak-masak dan jika perancangan berjalan lancar paling lewat saya akan berhenti pada akhir tahun ini," ujarnya kepada mStar Online. Zarul ditemui pada majlis berbuka puasa syarikat rakaman Indigital Music di Hotel Royal, di sini, malam Selasa. Kata Zarul, keputusan tersebut sudah lama difikirkan iaitu sejak syarikat penerbangan tersebut mempunyai masalah dalaman. "Sebenarnya saya fikir sudah lama sejak Malaysia Airlines System (MAS) tutup dan memberhentikan ramai pekerja. Dari situ saya fikir saya akan menjadi antara individu yang akan ditamatkan perkhidmatan. "Saya bersedia untuk merancang kerjaya sebagai artis dan selepas itu saya tidak sangka dipanggil semula untuk bekerja," ujarnya. Dalam pada itu, keputusan berkenaan disifatkan sebagai menyambung kerjaya dalam bidang seni yang pernah ditinggalkan dahulu secara mendadak. "Dulu ketika bersama Umbrella perjalanan seni saya terhenti tiba-tiba kerana saya membuat keputusan untuk menjadi pramugara. "Jadi, saya mahu sambung balik kerjaya seni yang terhenti dahulu, namun buat masa ini saya bergerak solo dahulu," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Zarul berkata, dia baharu mengeluarkan single terbaharu berjudul Jangan Pernah ciptaan Epul Drama Band.