suria

A. Aida Doakan Ameng Dapat Jalani Kehidupan Baru

A.Aida kini menguruskan saluran Salam HD di HyppTV.

PETALING JAYA: Penerbit drama Datuk A.Aida mendoakan bekas suaminya Ameng (Spring) dapat menjalani kehidupan baharu dengan lebih baik selepas dibebaskan dari penjara Kluang pada Selasa lalu akibat penyalahgunaan dadah.

A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 45, berkata, dia juga berharap Ameng mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dalam meneruskan kembali kerjayanya sebagai penyanyi.

"Saya mendoakan yang baik-baik sahaja untuk dia (Ameng) dan mendoakan dia dapat memulakan kehidupan baharu dengan jalan hidup lebih baik.

"Begitu juga dengan kerjayanya sebagai penyanyi, saya dengar dia bakal mengadakan konsert tidak lama lagi. Sebagai masyarakat kita juga perlu bantu dan beri sokongan kepada dia kembali meneruskan kerjayanya," ujar A. Aida kepada mStar Online.


Ameng dibebaskan dari penjara Kluang pada Selasa lalu.

A.Aida diminta mengulas mengenai Ameng yang dibebaskan daripada penjara Kluang pada Selasa lalu.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, dibebaskan selepas lima tahun ditahan di penjara itu.

Dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun hukuman itu dipendekkan atas disiplin dan contoh terbaik yang ditunjukkannya.

A. Aida berkahwin dengan Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 19, dan Wan Azevanatassha yang berusia 14 tahun. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, A. Aida berkata dia baharu sahaja mengendalikan sebuah saluran televisyen HyppTV iaitu Salam HD bermula 5 Jun lalu.

Ia merupakan satu tanggungjawab berat buatnya yang akan menentukan hala tuju saluran tersebut dengan program-program berkualiti.

"Alhamdulillah, saya baru sahaja diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah saluran televisyen di HyppTV iaitu Salam HD, ia adalah satu lagi pencapaian buat diri saya.

"Salam HD akan menyiarkan kandungan Islamik dan sudah bermula 5 Jun lalu dan setakat ini memang saya memberi keutamaan kepada produk syarikat saya," ujarnya.
A.Aida, Ameng

Artikel Lain