PETALING JAYA: Pelakon Elfaeza Ulhaq mengakui sejak berimej muslimah pada Januari lalu dia berhadapan dengan ujian apabila sering ditawarkan pelbagai watak yang memerlukannya membuka hijab. Elfaeza, 31, berkata, dia reda dan menolak dengan cara baik, biarpun mengakui pendapatanya dalam bidang lakonan semakin berkurangan. "Saya akui memang kurang muncul di televisyen sejak bertudung kerana tawaran berlakon semakin berkurangan. Ada tawaran yang datang tapi kebanyakannya untuk drama berbahasa Inggeris yang memerlukan saya membuka hijab. "Ia seperti dugaan dan ujian buat saya kerana disaat saya tiada pekerjaan ini, saya terpaksa menolak tawaran-tawaran memerlukan saya buka tudung. Namun saya reda ia hanya satu ujian Allah kepada saya," ujarnya kepada mStar Online. Elfaeza berkata demikian ketika ditemui pada malis berbuka puasa Syukur Selalu, baru-baru ini. Sementara itu, Elfaezah yang berasal dari Singapura ini mengakui sering menghabiskan masa menetap di sini biarpun tidak mempunyai sebarang penggambaran. "Saya sentiasa ada di Malaysia walaupun tiada penggambaran kerana saya suka tinggal di sini dan saya sudah anggap Malaysia seperti rumah saya. "Jika saya ada penggambaran di Singapura pun saya akan balik ke Malaysia selepas selesai penggambaran di sana," ujarnya. Dalam pada itu ditanya aktiviti sepanjang Ramadan, Elfaezah berkata, dia kini sibuk melakukan kerja amal mencuci karpet surau-surau di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Katanya, ia merupakan kerja amal yang dilakukan bersama beberapa rakan bagi memastikan kebersihan dan keselesaan surau untuk beribadah. "Disebabkan banyak masa terluang saya bersama seorang rakan yang mempunyai syarikat mencuci karpet membuat kerja-kerja amal untuk cuci karpet surau. "Bila surau bersih orang akan selesa untuk sembahyang dan buat apa-apa aktiviti di surau, namun kami juga memerlukan dana untuk melakukan aktiviti tersebut bagi yang bermurah hati untuk menderma," ujarnya.