suria

Lakonan Diana Danielle Jadi Kaku Kerana Farid Kamil

Diana mengakui berasa gugup apabila bergandingan pertama kali dengan suaminya menerusi drama berjudul Sedikit Waktu. foto GLENN GUAN

PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle tidak menyangka gandingan pertama bersama suaminya, Farid Kamil dalam drama berjudul Sedikit Waktu menyebabkan lakonannya menjadi kaku.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 25, berkata, dia berasa segan berlakon disamping suaminya itu kerana merasakan tidak layak bergandingan dengan aktor hebat seperti Farid.

"Saya sejujurnya tidak mengetahui bakal bergandingan dengan Farid dalam drama tersebut kerana pada awalnya diberitahu akan berlakon bersama Remy Ishak.

"Atas sebab itu saya rasa lakonan saya kaku ketika hari pertama penggambaran kerana tidak pernah berlakon dengannya dan ia pengalaman yang sukar saya gambarkan dengan kata-kata.

Diana dan Farid pertama kali bergandingan dalam sebuah drama.

"Sudah tentu saya rasa malu, segan dan takut kerana Farid adalah antara pelakon hebat dan rasa seperti tidak layak bergandingan dengannya," katanya kepada mStar Online.

Sedikit Waktu bakal menemui penonton bersempena Aidilfitri pada 3 Julai nanti di Astro Ria, pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Diana berkata, walaupun berasa takut berlakon disamping suami sendiri namun dia terbuka sekiranya ada peluang lain pada masa hadapan.

Kata Diana, menerusi kerjasama pertama mereka itu, dia banyak mempelajari sisi lain Farid terutamanya sebagai seorang aktor.

"Saya kenal dia suami saya tetapi bukan sebagai pelakon. Jadi gandingan kami itu membuatkan saya dapat mengenali sisi profesionalnya dan banyak yang saya pelajari dalam tempoh singkat itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana berkata, kedatangan bulan Ramadan tahun ini dia rancak mempromosikan baju Melayu kanak-kanak yang diilhamkan daripada anaknya, Muhammad iaitu Che Mad X Diana Danielle.

Kata Diana, warna dan corak yang ditampilkan adalah antara kesukaan anaknya itu dan bersyukur ia mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

Artikel Lain