PETALING JAYA: Penerbit drama Datuk A. Aida menerusi syarikatnya A. Aida Production menggalas peranan baharu dalam usaha menyediakan program-program berbentuk Islamik di saluran Salam HD bagi televisyen internet, Hypp TV. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 45, berkata, dia memikul tanggungjawab membekal rancangan selama 153 jam bagi tempoh kira-kira dua tahun untuk saluran itu. "Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan mengendalikan sebuah saluran televisyen yang menekankan pengisian berkonsepkan Islamik yang merupakan peluang perniagaan baru syarikat saya. Ia mula beroperasi pada 5 Jun lalu," katanya kepada mStar Online. Aida menambah, buat permulaan dia dikehendaki membekalkan rancangan agama berbentuk tazkirah, bacaan Al-Quran dan ceramah agama yang meliputi 70 peratus siaran manakala baki 30 peratus lagi bagi rancangan berbentuk drama, telefilem dan dokumentari. Ditanya apakah rancangan paling mendapat sambutan di saluran itu ketika ini Aida berkata, Jejak Rasul musim pertama yang pernah disiarkan TV3 tidak lama dahulu antara program memperoleh rating tinggi musim Ramadan ini. Dalam pada itu , Ketua Kandungan Tempatan Hypp TV, Wan Rozita Aladad Khan berkata, daripada 750,000 pelanggan Unifi seluruh negara, lebih 300,000 daripadanya adalah penonton Salam HD (saluran 113). Ujarnya, saluran berkenaan menunjukkan sambutan tinggi berbanding lebih 132 saluran lain yang disediakan. Ia disebabkan Salam HD dapat ditonton percuma berbanding beberapa saluran lain yang perlu dilanggan. "Atas sebab itu saluran ini mendapat sambutan menggalakkan dan ia satu pemulaan yang baik buat A. Aida Production untuk menguruskan saluran berkenaan," ujarnya. Ditanya mengenai perancangan seterusnya Wan Rozita berkata, pihak A. Aida akan menerbitkan sebuah rancangan berjudul Aura Bintang yang menampilkan beberapa artis berhijrah ke arah Islam sebenar. Katanya, rancangan itu dijangka menemui penonton pada Ogos depan. Ia menampilkan artis antaranya Sherry Ibrahim, Adam Korie, Fynn Jamal dan Amy Mastura. "Setakat ini kami berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh A. Aida Production khususnya dalam usaha menampilkan kelainan menerusi saluran ini berbanding rancangan-rancangan Islamik di saluran lain," katanya.