suria

Raja Ema Batal Hasrat Nikah Ahli Perniagaan Selepas Aidilfitri

Raja Ema akui perlu fikir panjang untuk kembali berumah tangga.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal era 1980-an, Raja Ema telah membatalkan hasrat untuk berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang sepatutnya dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Raja Ema atau nama sebenarnya Raja Ema Raja Ibrahim, 48, berkata, dia terpaksa membuat keputusan tersebut setelah berfikir panjang dan mengambil kira kesan terhadap kerjaya dan anak-anaknya.

"Belum ada jodoh lagi untuk berkahwin semula seperti yang dirancang. Setelah fikir masak-masak saya ambil keputusan untuk kami berkawan sahaja dulu.

"Banyak perkara yang terpaksa saya ambil kira seperti saya terpaksa berhenti daripada kerjaya seni yang mana saya baru sahaja mulakan," ujarnya kepada mStar Online.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Jejaka Idaman itu dilaporkan bakal berkahwin selepas Aidilfitri dan bakal menetap bersama suami di London.

Raja Ema tidak mahu kerjaya seni terhenti sekali lagi.

Selain itu, Raja Ema berkata, dia tidak mahu membuat keputusan untuk berkahwin hanya mengikut perasaannya semata-mata.

"Saya juga tidak boleh ikut perasaan sahaja, saya perlu fikir anak-anak sama ada mereka terima atau tidak jika saya berkahwin semula.

"Pendek kata, banyak faktor membuatkan saya menolak lamaran untuk berkahwin dalam masa terdekat ini, jika dia tidak dapat terima saya lagi pun tidak mengapa saya reda sahaja," ujarnya.

Selain itu, ditanya tentang lelaki tersebut, Raja Ema berkata, dia masih mencari seorang lelaki yang memahami dan berkualiti untuk dijadikan sebagai suami.

"Pada usia ini saya tidak fikir berkahwin sekadar untuk berseronok sahaja, sebaliknya mencari teman hidup yang memahami.

"Saya mahu seorang lelaki yang berkualiti dan boleh menjadi pasangan hidup di saat susah dan senang," ujarnya.

Raja Ema sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Sheqal dan dikurniakan dua cahaya mata Putera Ammar, 22, dan Putera Al Kashah, 20.
Raja Ema

Artikel Lain