PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Anis Al-Idrus memberitahu dia terpaksa menolak tawaran berlakon sebuah drama yang turut melibatkan bekas kekasihnya Sharnaaz Ahmad. Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 28, berkata, perkara tersebut bukan kerana tidak bersikap profesional, namun enggan menimbulkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan kerjaya masing-masing. "Saya akui sejak aktif berlakon dan menyanyi kami ada terserempak di majlis hiburan tapi saya cuba elak daripada bertembung dengannya. "Begitu juga lakonan, saya ada dapat tawaran yang turut sama melibatkan dia tapi awal-awal lagi saya dah tolak. "Bukan tidak profesional tapi saya tidak mahu masalah bagi pihak saya mahupun pihak dia yang sudah ada kehidupan baru itu," ujarnya kepada mStar Online. Anis ditemui pada majlis sidang media Anugerah Industri Muzik 22 (AIM 22), Rabu lalu. Sharnaaz Ahmad. Penyanyi lagu Mengapa ini mengakui sentiasa mengelak sebarang perkara berkaitan hubungan percintaannya yang lalu. Sementara itu, ditanya tentang lelaki baharu dalam hidupnya, Anis berkata, dia masih belum bertemu dengan insan istimewa yang boleh dijadikan pasangan hidup. "Saya ramai kawan lelaki tetapi belum ada lagi yang istimewa, mungkin usia saya yang sudah hampir ke 30-an ini membuatkan saya lebih memilih. "Namun apa-apa pun ia terserah juga kepada jodoh, saya tidak kisah lelaki itu dikalangan orang biasa atau terlibat dengan dunia seni," ujarnya. Bercerita tentang perjalanan kerjaya yang semakin rancak, Anis berkata, dia menikmati kesibukan yang dilaluinya sekarang biarpun tidak mempunyai masa rehat yang banyak seperti dahulu. "Selepas aktif ini memang masa rehat saya tidak seperti dahulu, tidur tidak pernah mencukupi seperti orang lain. "Selain itu, saya juga rindu privasi yang mana sebelum ini saya bebas untuk keluar dengan siapa yang saya suka tanpa sebarang persepsi orang luar," ujarnya. Selain itu, Anis berkata dia sudah bersedia untuk merakamnkan single keduanya tidak lama lagi.