suria

Azmil (Mentor) Enam Tahun Tak Sambut Raya Pertama

Azmil bakal buat persembahan di rumah Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran program realiti Mentor Legend iaitu Azmil Karim berkata dia sudah enam tahun tidak menyambut Aidilfitri pertama bersama keluarga di Sabah.

Azmil berkata, dia tidak dapat pulang beraya bagi memenuhi beberapa jemputan persembahan nyanyian termasuk di rumah Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.

"Tahun ini mungkin saya balik Hari Raya ketiga kerana pada Hari Raya pertama dan kedua saya ada beberapa jemputan nyanyian termasuk di rumah Perdana Menteri.

"Ini bukan pertama kali, tetapi sudah tahun keenam saya tidak dapat balik menyambut raya pada hari pertama, sebelum jadi penyanyi saya bekerja di Johor Bahru dan biasanya terpaksa bekerja sehingga raya ke 7," ujarnya.

Tambah Azmil perkara tersebut boleh diterima oleh keluarganya dan mereka memahami tanggungjawab dia dalam mencari rezeki.

Protoge Dayang Nurfaizah ini berkata, kebiasaannya dia akan pulang sebelum Hari Raya untuk memastikan segala persediaan Aidilfitri berjalan lancar.

"Mula-mula pada tahun pertama dan kedua ibu saya sedih, tapi lama-kelamaan dia sudah boleh terima perkara itu.

"Dia juga sudah faham kerja saya bukan sekadar suka-suka sebaliknya untuk mencari rezeki," ujarnya.

Bagaimanapun, Azmil berkata, dia juga mengimpikan untuk menyambut raya bersama keluarga seperti orang lain sekiranya pendapatannya sudah stabil.

Azmil Mentor

Artikel Lain