PETALING JAYA: Pelakon Elfaeza Ul Haq berkata dia terbuka hati untuk membuat kerja amal mencuci permaidani masjid dan surau selepas berasa kurang selesa ketika menjalani penggambaran di rumah ibadat itu. Elfaeza, 31, berkata, dia mula terfikir untuk mengadakan kempen Toharoh Rumah Allah bulan lalu selepas mendapat sokongan sekumpulan pencuci syarikat The Maher Cleanz. "Ia bermula ketika saya menjalani penggambaran di surau dan ada rasa kurang selesa, bau tidak menyenangkan dan gatal-gatal. "Saya cuba mencari mana-mana perkhidmatan yang melakukan kerja-kerja mencuci di laman sosial dan bertanya sama ada mereka mahu membuat kerja amal mencuci permaidani surau. "Alhamdulillah, mereka setuju dan daripada sebuah surau kami mula seronok dan teruskan usaha mencuci surau-surau lain pula," ujarnya. Elfaeza bersama rakan-rakannya membersihkan sebuah masjid di Damansara. Elfaeza berkata, kempen yang dijalankan sejak sebulan lalu semakin mendapat perhatian dan sokongan daripada masyarakat yang ingin beramal. Pada awalnya, usaha itu dilakukan sebelum bulan Ramadan dengan tujuan permaidani boleh digunakan dengan selesa ketika beribadah di bulan Ramadan. Kata Elfaeza, dia meneruskan kempen tersebut dengan meluaskan lagi kawasan yang memerlukan khidmat mereka. "Kami mula awal Rejab dengan tujuan Ramadan ini permaidani itu boleh digunakan dengan selesa. Tapi nampaknya akan diteruskan sehingga selepas bulan Ramadan. "Kami akan ke kawasan-kawasan lain juga yang memerlukan khidmat dan mempunyai dana yang cukup untuk melakukan kerja-kerja itu," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang Hari Raya Aidilfitri, Elfaeza berkata, dia menyambut perayaan itu di negaranya Singapura. Katanya, dia pulang seminggu sebelum Hari Raya bagi membuat persiapan dengan keluarga. "Hari Raya sudah tentu saya balik Singapura kerana keluarga besar saya di sana. Insya-Allah saya beraya dua minggu sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur," ujarnya.