suria

Yusof Haslam Minta Waspada Bercakap Tentang P. Ramlee

Datuk Yusof Haslam meminta agar isu membabitkan kenyataan David Teo tidak terus diperbesarkan.

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam meminta mana-mana pihak agar lebih berhati-hati apabila bercakap tentang Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat.

Yusof atau nama sebenarnya Mohd Yusof  Md Haslam Khan, 62, berkata, Allahyarham P.Ramlee merupakan tokoh dalam industri seni tanah air yang sangat disanjung oleh semua golongan masyarakat di negara ini.

"Saya minta agar sesiapa juga yang ingin bercakap tentang Allahyarham agar lebih berhati-hati kerana takut ia disalah tafsir dan menimbulkan kemarahan masyarakat.

"Saya sendiri jika mahu komen tentang Allahyarham fikir dahulu apa yang ingin disampaikan kerana ia sangat sensitif kepada masyarakat dan kita sedia maklum P.Ramlee sudah menjadi tokoh dan ikon kepada negara ini," ujar Yusof.

Seniman Agung, Allahyarham P.Ramlee.

Beliau dihubungi berkenaan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif, MIG iaitu David Teo di sebuah portal berita pada 7 Julai lalu yang mahu semua pelakon menjadi jutawan dan tidak hidup melarat sebagaimana pengakhiran kehidupan P. Ramlee.

Bagaimanapun, Yusof berkata, dia yakin apa yang cuba disampaikan oleh David Teo telah disalah tafsir oleh pembaca dan meminta ia tidak terus diperbesarkan.

"Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak kerana saya percaya David Teo tidak bermaksud untuk menghina seniman agung itu.

"Saya pasti dia sendiri sudah belajar daripada kesilapan yang dilakukannya ini," ujarnya.

David Teo sudah meminta maaf terhadap kenyataan yang dianggap menghina P.Ramlee

Sementara itu, Yusof berkata, kehidupan yang dilalui seniman agung itu tidak wajar untuk dibuat perbandingan dengan kehidupan dan industri seni kini.

Katanya, seniman berkenaan melalui zaman yang serba kekurangan dan tidak mempunyai bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan ketika itu.

"Kita mengagumi bakat dia dan tidak wajar untuk kita mengadili kehidupan yang dia lalui kerana dia hidup pada zaman serba kekurangan.

"Jika dia hidup pada zaman ini mungkin juga dia mampu menjadi seorang yang mungkin disegani," katanya.
Yusof Haslam, P.Ramlee

Artikel Lain