suria

Selepas 'Ola Bola', Luqman Hafidz Terima Tawaran Komedi

Luqman Hafidz mula mendapat perhatian selepas muncul dalam filem Ola Bola.
PETALING JAYA: Pelakon Luqman Hafidz lebih banyak menerima tawaran berlakon drama bersiri atau telefilem genre komedi sejak mencipta nama menerusi filem Ola Bola tahun lalu.

Luqman, 25, berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang komedi namun dia terbuka menerima pelawaan diberikan syarikat produksi kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu.

"Ketika penggambaran Ola Bola saya langsung tiada pengalaman dalam bidang lakonan tetapi saya sahut cabaran untuk mencuba. Alhamdulillah lakonan saya diterima baik menerusi filem berkenaan.

"Saya terkejut juga apabila banyak menerima tawaran projek genre komedi tetapi ini adalah peluang saya untuk mempelajari sesuatu yang baharu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Luqman, kemunculannya memegang watak komedi menerusi drama bersiri Mr Tanda Soal diterima baik oleh penonton namun dia ada menerima teguran untuk memperbaiki lakonannya.

Ola Bola adalah filem pertama lakonan Luqman (kanan) dan ia mencecah kutipan hampir RM15 juta setakat ini.

Katanya, dia terbuka dengan kritikan peminat menerusi laman sosial yang dijadikan peringatan agar dia tidak leka dan terus melakukan terbaik.

"Saya baca dan ambil serius terhadap komen diberikan rakan-rakan dan peminat kerana mereka menonton lakonan dan nampak kelemahan saya.

"Alhamdulillah ramai juga memberitahu seronok melihat lakonan saya dalam Mr Tanda Soal," ujarnya.

Sementara itu, Luqman berkata, bagi mengasah bakat lakonannya dia menjadikan filem atau drama lain sebagai rujukan dalam menkaji perkembangan watak.

"Kebiasaannya sebelum tidur saya akan habiskan masa menonton karya-karya hebat untuk tengok bagaimana pelakon-pelakon hebat ini mencipta watak mereka dan dari situ saya ambil idea.

"Selain itu saya banyak juga bertanya dengan pelakon senior dan Alhamdulillah mereka banyak membantu," katanya.

Artikel Lain