PETALING JAYA: Pelakon Dynas Mokhtar memberitahu anak perempuannya Khyra Khalyssa, 6, mula menunjukkan minat dalam bidang seni dan sebagai ibu dia tidak menghalang kecenderungan kanak-kanak berkenaan. Dynas atau nama sebenarnya Wan Edrinas Wan Mokhtar, 33, berkata, Khyra dilihat berminat dalam bidang peragaan dan selesa apabila gambarnya diambil jurugambar namun bersikap pemalu jika berada di hadapan kamera. "Kalau gambarnya diambil jurufoto dia memang cepat memberi pose tetapi kalau di hadapan kamera dia masih malu dan suka menyorok belakang pengarah. "Dia juga selalu minta saya belikan dia buku tetapi kena beli lebih sebab dia akan jual kepada rakan-rakannya. "Tindakannya itu sering mengingatkan kepada diri saya sendiri ketika kecil kerana saya juga suka berniaga ketika sekolah," ujarnya kepada mStar Online. Selain Khyra, Dynas turut mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu Mohamed Haqaish berusia empat tahun. Anak-anak itu adalah hasil perkahwinannya bersama bekas suami, Mohd Hafizi Mohamed. Dynas bersama anak-anaknya. Bagaimanapun pasangan berkenaan yang berkahwin pada 15 Mac 2008 bercerai pada 25 Februari 2014 di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Dynas berkata, walaupun dia menggalakkan anaknya itu terlibat dalam bidang seni namun bekas suaminya lebih suka kanak-kanak berkenaan menjalani kehidupan normal. "Sebagai ibu saya galakkan kalau dia cenderung ke arah seni tetapi bapanya tidak benarkan kerana mahu dia menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. "Tahun depan dia akan mula masuk darjah satu jadi saya tidak mahu dia berasa terbeban terpaksa melakukan pelbagai perkara," ujarnya. Sementara itu, Dynas berkata, dia kini kembali berlakon selepas beberapa tahun tidak berbuat demikian dan baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah drama bersiri iaitu Samudera Rindu. Kata Dynas, dia juga terbuka hati untuk menerima tawaran tersebut kerana peranan diberikan berbeza daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini. "Saya tidak berlakon sebelum ini kerana sibuk dengan perniagaan tetapi perasaan rindu itu masih ada. "Alhamdulillah tawaran masih ada dan saya terima kerana watak diberikan cukup berlainan sekaligus memberi cabaran kepada saya. "Insya-Allah selepas ini jika ada lagi tawaran sedemikian saya akan terima," katanya.