PETALING JAYA: Pelakon Aisya Hasnaa bakal kembali semula ke bidang nyanyian dengan merakam dua buah lagu ciptaan komposer terkenal DJ Fuzz tidak lama lagi. Aisya atau nama sebenarnya Aisyah Hasnaa Umaruddin, 26, berkata, perkara tersebut dilakukan berikutan dia mempunyai kelapangan kerana kurang tawaran berlakon sejak membuat keputusan berhijab pada April lalu. "Saya akui lepas berhijab kurang tawaran berlakon dan tiga tawaran yang saya sudah terima juga terpaksa dibatalkan kerana dikatakan tidak sesuai dengan watak. "Tapi ada hikmah disebalik perkara itu kerana saya boleh ke bidang nyanyian dan bakal merakamkan dua buah lagu ciptaan DJ Fuzz tidak lama lagi," ujarnya. Pelakon drama Rumi Cinta Julia ini berkata, dia pernah keluar dengan mini album sekitar tahun 2011, namun kurang mendapat perhatian. Aisya bakal beraksi di pentas teater Mencari Sumaiyah. Aisya ditemui pada sidang media teater muzikal Mencari Sumaiyah yang berlangsung di Istana Budaya, di sini, Isnin. Selain itu, Aisya berkata, dia yang bakal beraksi di pentas teater berskala besar arahan Dira Abu Zhar turut menganggap peluang itu sebagai rezeki selepas berhijab. Aisya berkata, dia menjadikan ia sebagai peluang keemasan kepadanya untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon yang mempunyai nama besar dalam bidang teater. "Alhamdulillah, saya mendapat peluang ini selepas berhijab dan ini merupakan kali pertama saya berlakon di pentas berskala besar seperti Istana Budaya ini. "Perasaan gementar dan bimbang sudah tentu ada tapi saya dikelilingi oleh orang-orang yang berpengalaman luas dalam bidang ini dan tidak menjadi masalah jika mengikut apa yang mereka mahukan," ujarnya. Teater muzikal berkenaan akan dipentaskan bermula 8 hingga 14 Ogos depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Mencari Sumaiyah turut menampilkan Afdlin Shauki, Erra Fazira, Sherry Alhadad, Nadia Aqilah, dan Ruzana Ibrahim. Aisya berkata, dia bakal membawakan watak seorang tukang jahit di sebuah kampung yang mahu mengikut jejak langkah idolanya seorang pereka fesyen terkenal. "Watak saya sebagai seorang ibu tunggal yang mahu mengikut jejak langkah seorang wanita bernama Sumaiyah yang berjaya menjadi pereka fesyen," ujarnya.