suria

Lara Alana Belum Sedia Terima Adik - Awal Ashaari

Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama anak mereka Lara Alana di majlis hari lahir di Little Kingdom, Parkson Maju Junction Shopping Mall pada Sabtu. Foto ROHAIZAT MD DARUS/STAR.

KUALA LUMPUR: Pengacara Awal Ashaari belum merancang untuk menambah cahaya mata kerana merasakan anak sulungnya Lara Alana, 2, masih belum bersedia untuk menerima adik.

Awal berkata, Lara memerlukan masa untuk mendapat lebih banyak lagi perhatian dan kasih sayang daripada dia dan isterinya aktres Scha Alyahya.

"Belum ada lagi perancangan dalam masa terdekag kerana Lara belum bersedia untuk ada adik, dia masih perlukan kasih sayang.

"Dia seorang yang sangat sensitif dan cepat merajuk.

"Jika dia ada adik dalam masa terdekat sudah tentu kasih sayang kami akan terbahagi, bagaimana perasaan dia pula yang masih kecil itu," ujarnya kepada mStar Online.

Lara didukung bapanya ketika memotong kek hari jadi.

Pasangan ini ditemui pada majlis sambutan hari lahir Lara Alana ke-2 tahun yang diadakan di Little Kingdom, Maju Junction, di sini, Sabtu.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Neelofa dan Fouziah Ghous.

Tambah Awal, dia sendiri merasakan kurang memberi kasih sayang yang sepatutnya kepada anaknya yang sedang membesar itu.

"Saya rasa masa bersama dengan dia sangat singkat dan banyak perkara yang saya terlepas sehingga kadang-kadang saya cemburu jika dia belajar sesuatu perkara baru dengan orang lain.

"Sepatutnya pada usia ini kami ada disisi sentiasa, sebab itu saya kata bagi masa dia besar sikit untuk ada adik lain," ujarnya.

Lara seorang yang sensitif dan kuat merajuk.

Sementara itu, tentang perkembangan Lara, Scha berkata, dia mempunyai dua doktor peribadi yang memantau kesihatan dan pembesaran kanak-kanak itu.

Katanya, jika menerima sebarang tawaran yang memerlukan komitmen kanak-kanak itu, dia akan meminta nasihat daripada doktor terlebih dahulu sama ada sesuai atau tidak.

"Kebiasaannya saya akan periksa jalan cerita untuk iklan dahulu, jika sesuai baharu saya setuju kerana Lara masih kanak-kanak dia tidak boleh dipaksa untuk melakukan apa yang dia tidak mahu," ujarnya.

Sambutan hari jadi Lara disambut meriah.

Selain itu, ditanya tentang perancangan persekolahan Lara, pasangan ini mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan apabila umurnya sudah mencecah tujuh tahun.

Awal berkata, ia berikutan kos perbelanjaan yang terlalu tinggi di sekolah-sekolah swasta serta faktor ekonomi yang tidak menentu.

"Kami pada awal ingin hantar ke sekolah kebangsaan cina tapi sukar kerana Lara perlu ada asas untuk bercakap mandarin sedangkan kami dua-dua tidak tahu.

"Untuk hantar ke sekolah swasta pula memerlukan kos yang tinggi, saya takut jika kami hantar Lara kemudian jika kami ada anak yang lain tidak mampu pula menghantar ke sekolah yang sama," ujarnya.

Lara Alana

Artikel Lain