suria

Personaliti Media Sosial Antara Peserta 'Super Spontan Superstar'

Personaliti media sosial, Zukiee dan Jamal bakal bersaing dalam musim kelima program Super Spontan Superstar yang bakal bermula pada 5 Ogos depan. Foto RAJA FAISAL HISHAN

PETALING JAYA: Program Super Spontan Superstar menyaksikan penyertaan dua personaliti media sosial iaitu Zukiee dan Jamal berentap bersama-sama 14 lagi selebriti yang bertanding.

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro, Bob Azrai berkata, pemilihan itu dibuat selepas melihat kepada kesungguhan dan bakat semulajadi kedua-dua mereka ketika dipanggil menyertai boot camp yang diadakan selama tiga sebelum ini.

"Apa yang boleh saya katakan Zukiee dan Jamal mempunyai darah pelawak dan spontan ketika diberi cabaran semasa menyertai kem Super Spontan Superstar baru-baru ini.

Antara peserta yang bakal bersaing dalam Super Spontan Superstar.

"Kita melihat Zukiee dan Jamal mampu memberi respon dengan baik selain bukan semua boleh melakukan improvisasi secara spontan dan itu kelebihan mereka.

"Malah mereka berani menyahut cabaran apabila diberi peluang berkenaan dan atas dasar itu juga kami memilih mereka menyertai program ini," katanya kepada mStar Online.

Bob ditemui pada sidang media pelancaran program berkenaan yang diadakan di sini, Selasa.

Super Spontan Superstar bakal bersiaran bermula 5 Ogos depan di saluran Astro Warna 132 dan Mustika HD 134 pada setiap hari Jumaat, 9 malam.

Pasangan suami-isteri, Johan dan Ozlynn bakal berentap sesama sendiri dalam program berkenaan.
Ia turut bersiaran secara langsung setiap minggu di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini.

Dalam pada itu, Bob berkata, pihaknya juga mengambil keputusan menyerapkan personaliti media sosial kerana sedar akan kekuatan mereka yang mempunyai pengikut tersendiri.

Malah katanya, video-video lawak pendek yang dihasilkan sering mencuit hati penonton selain menjadi viral.

"Mereka adalah bintang dalam dunia laman sosial dan kita tidak boleh menafikan pengaruh yang dibawa kepada masyarakat," katanya.

Tambah Bob, selain Zukiee dan Jamal, pihaknya ada menjemput beberapa lagi personaliti media sosial untuk menyertai program berkenaan namun ada di antara mereka masih belum bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.

Pun begitu katanya, kemunculan dua bintang itu mampu menjadi penanda aras untuk musim akan datang yang boleh mewujudkan minat personaliti media sosial lain untuk turut serta dalam program itu.

Amyza Adnan sahut cabaran Super Spontan Superstar.
"Insya-Allah pada musim akan datang mana tahu lebih ramai personaliti media sosial yang ingin menyertai program ini.

"Buat masa sekarang biarlah kami bermula dengan Zukiee dan Jamal terlebih dahulu," ujarnya.

Sementara itu, Bob berkata, seperti musim terdahulu, konsep berhibur sambil beramal masih dikekalkan apabila juara mingguan berpeluang menyumbangkan RM5,000 kepada selebriti veteran terpilih yang memerlukan bantuan.

"Dalam kita berhibur ada insan memerlukan dan sebab itu kita mahu memberi kembali kepada pihak memerlukan.

"Diharap ia juga dapat menjadi pendorong kepada selebriti mahupun penonton untuk melakukan kebaikan tidak kira kepada siapa pun," jelasnya.

Pada sidang media sama, turut diperkenalkan barisan pemain lain yang bakal terlibat iaitu Ozlynn, Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Julia Ziegler.

Selain itu, Johan dan Tauke bakal bertindak sebagai ketua kumpulan iaitu Monyet Mafia dan Harimau Hipster.

Afdlin Shauki pula bakal bertindak sebagai komentator manakala Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak sebagai pengacara.

Pemenang Super Spontan Superstar akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing bakal menerima RM50,000 dan RM25,000.

Artikel Lain