PETALING JAYA: Penyanyi yang popular menerusi lagu Rasa Sayang iaitu Hanie Soraya mengakui lebih menghargai keamanan yang dinikmati sebagai rakyat Malaysia sejak menyambung pengajiannya dalam bidang perubatan di Mesir. Hanie, 22, berkata, pengalaman menetap di luar negara banyak membuka matanya terutamanya kepentingan toleransi dan saling menghormati sesama manusia dalam mencipta suasana aman. "Sejak melanjutkan pelajaran di luar negara saya mula faham tentang erti kebebasan termasuk berada di sebuah negara yang aman seperti Malaysia. "Keadaan di Mesir contohnya adakalanya berlaku konflik yang menyebabkan keadaan huru-hara membuatkan saya lebih menghargai Malaysia. "Bagaimanapun saya bersyukur kerana tempat yang sering dilanda konflik jauh daripada universiti saya," katanya kepada mStar Online. Hanie kini sedang menuntut di Universiti Mansourah, Mesir dan sedang bercuti sebelum memulakan semester baharu. Dalam pada itu, Hanie berkata, nilai patriotisme dikalangan masyarakat Malaysia sebenarnya masih tinggi dan berharap ia akan berkekalan. "Setiap negara mempunyai masalah tersendiri dan tidak terkecuali Malaysia. "Pun begitu disebalik perkara-perkara itu rakyat negara ini masih mempunyai nilai patriotisme yang tebal. Hanie melihat penganjuran Anak-Anak Malaysia Walk 2016 sebagai inisiatif baik. "Jika kita saling bertoleransi di antara masyarakat berbilang kaum, Insya-Allah kita akan tetap teguh sebagai sebuah negara," ujarnya. Mengulas mengenai program Anak-Anak Malaysia Walk 2016, Hanie berkata, ia satu inisiatif baik oleh Star Media Group dalam menyatukan semua kaum dalam acara yang mampu menghimpunkan semua rakyat Malaysia. Kata Hanie, larian itu juga dapat menaikkan semangat cintakan terhadap negara tambahan pula ia bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-59. "Ia satu inisiatif yang baik kerana ia dapat mengumpulkan semua kaum di Malaysia untuk satu tujuan sama. "Saya sendiri tertarik dan jika berpeluang akan menyertainya memandangkan saya sering menyertai larian seumpama ini di Mesir," katanya. Anak-Anak Malaysia Walk 2016 dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Bukit Bintang pada 14 Ogos nanti. Ia bertujuan meraikan kepelbagaian Malaysia dalam usaha menggalakkan perpaduan dan persefahaman dikalangan rakyat. Perjalanan sejauh 3.4 kilometer itu akan bermula dari persimpangan Jalan Imbi iaitu di Jalan Pudu, bekas tapak Penjara Pudu dan akan dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz. Anak-Anak Malaysia Walk 2016 dianjurkan oleh Star Media Group dengan kerjasama EcoWorld. Penaja lain bagi acara tersebut termasuk Proton, Panasonic, Tenaga Nasional dan YES. Bagi yang berminat untuk menyertai larian tersebut boleh mendaftar di http://sites.thestar.com.my/aamwalk/ dan 3,000 peserta pertama yang mendaftar akan menerima tiket menonton wayang daripada Golden Screen Cinemas (GSC). Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi 03-7967 1388 sambungan 1432/1529/1243 (Isnin-Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang).