PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim mengesahkan kini sedang hangat bercinta dengan seorang model antarabangsa yang kini menetap di London. Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, wanita itu sudah pun memeluk agama islam baru-baru ini dengan menggunakan nama Iman. "Ya, saya sedang berkawan secara serius kira-kira enam bulan dengan seorang wanita yang bekerja sebagai model dan pelukis di London. "Saya selalu jumpa dia di sana jika kelapangan dan dia juga sudah beberapa kali datang ke Malaysia. "Alhamdulillah dia juga sudah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Iman," ujarnya kepada mStar Online. Pekin dan Syafie bergandingan dalam filem Kampung Drift. Pekin ditemui pada majlis tayangan filem Kampung Drift yang diadakan di Cathay Cineleisure, di sini, malam Khamis. Dalam pada itu, Pekin berkata, mereka masih belum bersedia untuk mendedahkan hubungan istimewa berkenaan berikutan wanita itu terikat dengan beberapa kontrak. "Saya tidak boleh dedahkan identitinya kerana dia terikat kontrak dengan beberapa jenama terkenal. Dia juga minta saya merahsiakan perkara ini hingga dia tamat kontrak tersebut. "Inysa-Allah, kalau dia dah sedia, saya tidak kisah untuk berkongsi kepada umum tentang hubungan kami," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang sikap terbukanya bercerita tentang hubungan peribadi, Pekin berkata, dia tidak gemar menyembunyikan sesuatu yang benar berlaku. Barisan pelakon Kampung Drift yang bakal ditayangkan pada 4 Ogos depan. "Saya terbuka jika ada yang bertanya, masa saya bercinta dengan Uqasha dulu pun saya tidak pernah mengelak jika wartawan bertanya. "Bagaimanapun, kami hanya merancang dan tuhan yang menentukannya," katanya. Dalam perkembangan kerjaya, Pekin turut membintangi filem Kampung Drift yang bakal ditayangkan Khamis depan. Dia membawa watak sebagai Acai yang juga bapa kepada Johan lakonan Syafie Naswip. Filem arahan pertama Nevin Hiong ini turut dibintangi oleh Pablo Amirul, Fatin Afeefa dan Syazwan Yunos.