PETALING JAYA: Dua personaliti media sosial iaitu Zukiee dan Jamal melihat penyertaan mereka menerusi program Super Spontan Superstar sebagai batu loncatan bagi mengembangkan karier seni mereka ke tahap lebih tinggi. Zukiee atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamed, 24, berkata, walaupun sudah dikenali di media sosial namun mereka ingin mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan dilakukan menerusi video pendek di Instagram dan Facebook. "Kami yakin penyertaan menerusi program berkenaan dapat melonjakkan karier kami dan memang menjadi hasrat kami untuk mengembangkan karier dalam bidang seni seperti lakonan dan pengacaraan. "Pun begitu itu tidak bererti kami boleh memandang ringan terhadap peranan dalam program berkenaan dan akan melakukan bersungguh-sungguh," katanya kepada mStar Online. Zukiee dan Jamal teruja dapat bergandingan dengan pelawak berpengalaman. Super Spontan Superstar bakal bersiaran bermula 5 Ogos depan di saluran Astro Warna 132 dan Mustika HD 134 pada setiap hari Jumaat, 9 malam. Ia turut bersiaran secara langsung setiap minggu di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini. Antara selebriti lain yang turut terlibat adalah Johan, Ozlynn, Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Amyza Adnan, Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz. Dalam pada itu, Jamal pula berkata, mereka pada awalnya terkejut dipanggil untuk menyertai boot-camp program berkenaan kerana ia sebuah program yang mempunyai pengikut tersendiri. Bagaimanapun dia melihat itu sebagai peluang besar untuk menimba pengalaman terutamanya daripada pelawak-pelawak berpengalaman yang turut menyertai rancangan itu. "Mula-mula kami takut juga kerana bukan mudah untuk buat lawak secara spontan dan ia berbeza dengan apa yang kami biasa lakukan dalam video-video pendek di Instagram. "Ketika menghadiri boot-camp Super Spontan Superstar mencabar keupayaan dan melatih untuk kami cepat berfikir idea," katanya. Tambahnya lagi, mereka berdua tidak menyasarkan untuk memenangi pertandingan itu dan menganggap ia sebagai tempat menimba ilmu terutamanya daripada pelawak berpengalaman. Sementara itu, Zukiee berkata, walaupun akan sibuk dengan program berkenaan namun dia dan Jamal akan tetap menghasilkan video pendek di laman sosial.