suria

Guna Wang Sendiri, Saharul Ridzwan Tolak Tajaan Kahwin

Saharul Ridzwan memilih untuk menolak tajaan utama yang terimanya pada majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 16 September depan. Foto NORAFIFI EHSAN
KUALA LUMPUR: Pelakon Saharul Ridzwan memilih untuk menolak beberapa tajaan utama yang diterimanya pada majlis perkahwinan yang bakal berlangsung pada 16 September depan.

Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata, dia bertindak demikian kerana ingin merasai pengalaman menguruskan perkahwinannya sendiri seperti pasangan lain selain ingin menggunakan wang simpanan sendiri bagi tujuan itu.

"Alhamdulillah ada beberapa tajaan utama yang saya terima untuk majlis saya nanti namun saya menolak secara baik kerana ingin merasai nikmat persiapan majlis itu tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain.

"Seperti kita tahu besar pahalanya memberi makan kepada orang lain dan saya mahu hidangan yang disediakan pada majlis itu nanti adalah daripada hasil titik peluh saya sendiri.

Saharul mengakui berdebar untuk bergelar suami.

"Majlis itu nanti bukanlah secara besar-besaran dan ikut sekadar kemampuan saya sahaja dan paling penting baik meraikan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat," katanya kepada mStar Online.

TONTON VIDEO: "Ini Perkahwinan Saya, Tapi Orang Lain Yang Hebahkan" - Saharul Ridzwan

Pada Isnin, Saharul dalam satu sidang media khas mengesahkan bakal berkahwin dengan wanita pilihannya iaitu Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28, pada 16 September depan.

Pasangan itu bakal dinikahkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada pukul 9.30 pagi sebelum mengadakan majlis resepsi di Dewan Sri Siantan Putrajaya, 3 petang hari yang sama.

Bagaimanapun kata Saharul, walaupun tidak menerima tajaan utama namun dia masih terbuka apabila ada pihak yang sudi menaja pelamin dan fotografi untuk majlisnya itu.

Dalam pada itu, Saharul berkata, perkahwinannya itu juga tidak akan disiarkan secara eksklusif di mana-mana stesen televisyen seperti yang dilakukan oleh sesetengah selebriti lain.

Saharul dan Qaabila bakal disatukan sebagai suami-isteri pada 16 September depan.

Sebaliknya, dia menggunakan medium Instagram dan Facebook untuk mengemas kini perkembangan terbaharu tentang perkahwinannya bagi tatapan peminat.

Bercakap mengenai pemilihan 16 September sebagai tarikh perkahwinannya, Saharul berkata, dia tidak mempunyai sebarang alasan khusus sebaliknya tarikh berkenaan kebetulan jatuh pada hari Jumaat.

"Saya memang ingin berkahwin pada hari Jumaat dan mengambil keberkatan daripada penghulu segala hari itu.

"Tiada sebarang sebab spesifik dan kebetulan pula ia adalah cuti umum jadi senang keluarga dan rakan-rakan untuk hadir pada majlis perkahwinan kami," ujarnya.

Sementara itu, Saharul mengakui sebagai bakal pengantin dia berdebar menantikan hari disatukan dengan Qaabila namun sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.

"Pada tahap sekarang banyak persiapan mental dan jasmani yang saya lakukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan kerana ia bukan mudah sebenarnya.

"Besar tanggungjawab saya dan perlu bersiap sedia selain masih banyak perkara yang perlu saya pelajari," katanya.

Saharul Ridzwan, Qaabila

Artikel Lain