PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak mendoakan yang terbaik mengenai hubungan bekas kekasihnya aktres Emma Maembong dengan aktor Kamal Adli yang dilaporkan sedang dilanda badai.
Zizan, 32, berkata, dia terkejut dengan berita itu selepas ditanya oleh beberapa rakan yang mahukan kepastian.
"Saya juga terkejut dan baru tahu tentang berita ini setelah ramai yang bertanya, saya sendiri tidak tahu.
"Sebagai sahabat saya hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Pelakon filem Cicakman itu ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan pelajar Akademi Fantasia 2016 di Soju Sunway, di sini, Selasa.
Zizan mengulas tentang percintaan Emma Maembong dan Kamal Adli yang dikatakan sedang dilanda badai disebabkan kononnya campur tangan orang ketiga.
Dalam pada itu, pelakon Polis Evo ini juga berkata, dia tidak terlibat dengan masalah yang berlaku antara pasangan itu.
"Saya tidak ada sebab untuk menjadi punca mereka putus hubungan kerana selepas saya dan Emma berpisah, kami tidak menyimpan rasa cinta lagi.
"Malah, saya sentiasa berdoa agar dia mendapat ketenangan dan dapat apa yang dia cari selama ini," ujar Zizan.
Dalam perkembangan lain, Zizan bakal mengacarakan program realiti Akademi Fantasia 2016 buat kal ke empat bersama hos gandingan yang akan diumumkan pada konsert pertama 21 Ogos depan.