suria

Program 3 Juara Tampil Kelainan, Angkat Tiga Genre Berbeza

KUALA LUMPUR: Ketika rancangan realiti nyanyian lain hanya mengangkat seorang pemenang, program terbaharu terbitan TV3 iaitu 3 Juara memperlihatkan kelainan dan mencari tiga juara menerusi tiga genre berbeza, balada, rock dan irama Malaysia.

Penerbit ekskutif 3 Juara, Muhammad Suffian Isa berkata, idea menghasilkan program tersebut tercetus daripada Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dalam penganjurannya mengetengahkan tiga genre berkenaan.

"Idea program ini tercetus ketika kami sedang sibuk dengan persiapan AJL pada tahun lalu semasa kami sedang menyusun program mengimbau persembahan terbaik pertandingan itu.

"Ia amat menarik untuk dijadikan sebagai satu lagi format program berbeza daripada yang sedia ada di mana kita mengangkat tiga pemenang dari tiga kategori berbeza dalam satu pertandingan," katanya kepada mStar Online.

3 Juara bakal menemui penonton bermula 16 Oktober depan pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam.

Uji bakat bagi mencari peserta bersesuaian pula akan diadakan di tiga lokasi iaitu di The Light Hotel Seberang Jaya, Pulau Pinang (27-28 Ogos), Grand Blue Wave Hotel, Johor Baru (3-4 September), Hotel Promenade, Kota Kinabalu (10-11 September), Merdeka Palace, Kuching (17-18 September) dan Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur (24-25 September).

Dalam pada itu, Suffian berkata, bagi menampilkan lebih kelainan, tiga komposer terkenal yang mewakili tiga genre dilantik bagi mencari peserta berpotensi sekaligus melayakkan mereka bertanding.

Menerusi tujuan itu juga, tiga nama yang bakal mewakili genre dipertandingkan adalah Edrie Hashim (Rock), Ajai (Balada) dan Pak Ngah (Irama Malaysia).

Ajai, Pak Ngah dan Edrie Hashim akan berganding bahu mencari peserta berpotensi bagi program 3 Juara. - foto SHAARI CHEMAT.

"Pemilihan ketiga-tiga mereka dalam program berkenaan tidak perlu diperkenalkan lagi kerana masing-masing umum sedia maklum mereka ada legenda dalam kategori masing-masing," katanya.

Bercakap mengenai konsep program itu, Suffian berkata, ia bakal memperlihatkan konsep 'battle' oleh dua peserta dari setiap kategori setiap minggu.

Bagaimanapun menariknya kata Suffian, untuk lima minggu pertama pertandingan tiada sebarang penyingkiran akan diadakan bagi memberi peluang kepada mereka mencari rentak sebelum yang benar-benar layak mara ke peringkat seterusnya.

"Sebanyak 18 peserta akhir akan kami pilih yang memperlihatkan enam dalam setiap kategori.

"Setiap minggu peserta dari genre rock sebagai contoh akan berentap dengan pesaing dalam kategori sama.

"Hanya seorang daripada setiap genre akan diumumkan sebagai juara," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Pak Ngah yang terkenal dengan lagu-lagu berirama tradisional berkata, sebagai juri dia ingin mencari peserta-peserta yang benar-benar bersedia kerana persaingan adalah sengit.

Jelasnya, peserta uji bakat sekurang-kurangnya diharap mempunyai asas nyanyian kukuh selain faktor X lain sebagai penyanyi.

"Mereka kena tahu minat masing-masing dalam genre apa dan bukannya sekadar ingin mencuba nasib," katanya.

Kelayakan untuk menyertai uji bakat, peserta mestilah warganegara Malaysia, berumur 18-28 tahun dan penyertaaan secara solo sahaja diterima.

Peserta juga perlu membawa cakera padat minus one sendiri selain sekeping gambar berukuran pasport.

Bakal juara program tersebut akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300,000.


Artikel Berikut

Artikel Lain