suria

Raja Ilya Harap Teman Lelakinya Warga Australia Peluk Islam

KUALA LUMPUR: Pelakon Raja Ilya berharap teman lelakinya warga Australia yang dikenali sejak tiga tahun lalu akan terbuka hati untuk memeluk agama Islam.

Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 31, berkata, biarpun belum memikirkan soal perkahwinan, namun jauh di sudut hatinya berharap hubungan tersebut akan berakhir sehingga ke akhir hayat.

"Biarpun masih belum memikirkan untuk menoktahkan hubungan itu dengan satu ikatan sah, namun saya tetap berdoa agar suatu hari nanti pintu hatinya terbuka untuk menerima agama Islam sebagai agamanya.

"Ia adalah cabaran dalam hubungan cinta kami dan andai kata pada akhirnya isu agama yang akan jadi penghalang cinta kami, saya sedia undur," ujarnya kepada mStar Online.

Raja Ilya pada di sesi fotografi bersama para calon lima terbaik, Festival Filem Malaysia 28 (FFM28) di Hotel Park Royal, di sini, Selasa.

Raja Ilya tercalon dalam kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi filem Suamiku En Perfect 10.
Bagaimanapun katanya, hubungan tersebut sudah diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak tanpa membangkitkan soal agama.

Tambahnya, dia hanya berpeluang berjumpa lelaki tersebut empat kali dalam tempoh tiga tahun hubungan mereka.

"Keluarga dia kuat agama, namun dia juga belajar banyak perkara tentang agama Islam.

"Buat masa ini keluarga kami tiada masalah tapi belum membincangkan secara mendalam jika hubungan ini akan ke fasa seterusnya.

"Walaupun kami jarang bertemu tapi hampir setiap hari kami akan berkomunikasi menerusi video skype dan itu sudah cukup membahagiakan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Raja Ilya yang dicalonkan menerusi kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi filem Suamiku En Perfect 10 mengakui terkejut tercalon dalam kategori itu.

"Bila dapat tahu saya dicalonkan untuk kategori tersebut, tertanya-tanya juga kerana secara peribadi saya sudah lapan tahun berada dalam industri.

"Namun setelah dijelaskan saya masih baru dalam dunia perfileman, maka saya masih dikira baru dan saya harus akur," katanya.

Raja Ilya bagaimanapun berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk FFM28 kali ini dan menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu kemenangan besar buat dirinya.

Raja Ilya

Artikel Lain