KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan memberitahu sekalipun sudah hampir tiga dekad berada dalam dunia seni, namun dia masih segan untuk memperkenalkan dirinya sebagai seorang artis. Jalaluddin, 62, bagaimanapun berkata, itu tidak bermakna dia malu dengan pilihan kerjayanya itu sebaliknya tidak mahu terdetik rasa riyak di dalam diri kerana sering menjadi perhatian masyarakat. “Entahlah, sejak dulu lagi saya sebenarnya segan nak menganggap diri saya sebagai artis kerana saya takut timbul rasa riyak dalam diri sedangkan sumbangan saya kepada industri tidak seberapa pun. “Mungkin sebab niat saya ikhlas dan jujur dalam berkarya selain melihat populariti itu hanya bersifat sementara dan boleh melalaikan sekiranya tidak bijak untuk menanganinya. “Justeru saya berpesan pada artis-artis baru, anda perlu jujur dalam berkarya dan usah terlalu mahu diri disanjung kerana industri seni kita terlalu kecil untuk semua itu,” katanya. Jalaluddin bekata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta pelancongan oleh Syarikat Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd, di Cafe Skrin Ukay Boulevard, Ulu Kelang, di sini, Rabu. Jalaluddin Hassan (tengah) ketika dilantik sebagai duta pelancongan Syarikat Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd. Dalam pada itu, Jalaluddin turut meluahkan rasa kesalnya apabila ada pihak mula bertelagah mengenai beberapa isu terutamanya mengenai penganjuran Festival Filem Malaysia 28 (FFM28). Sekalipun merasakan dirinya tidak layak untuk menyuarakan pendapat, namun demi memikirkan nasib dan masa depan industri seni tanahair, dia mahu semua pihak terus bersatu mencari penyelesaian terbaik. “Siapalah saya untuk bersuara namun keadaan ini sedikit-sebanyak membuatkan saya sedikit bimbang kerana pada saya pihak kerajaan, Finas dan semua yang terlibat ada perlaksanaan tersendiri untuk memberi yang terbaik. “Justeru, janganlah masing-masing terus menunding jari mencari salah siapa kerana apa yang lebih penting sekarang duduk berbincang dan carilah penyelesaian terbaik kerana industri seni kita bukanlah besar pun,” katanya. Mengulas lanjut mengenai perlantikannya sebagai duta pelancongan syarikat berkenaan, Jalaluddin menyifatkan ia sebagai satu rezeki di saat masa dan waktunya kini lebih banyak dihabiskan bersama anak-anak dan cucunya. “Terima kasih kepada Imtiyaz kerana masih percaya dengan populariti saya walaupun saya dan isteri sendiri berasa ragu-ragu ada lagi ke peminat yang ingin menyertai percutian bersama saya ke Eropah seperti yang dirancang oleh syarikat ini pada Disember depan,” ujarnya. Tempahan untuk mengikuti program percutian selama 8 Hari 6 Malam itu telahpun dibuka dan kepada yang berminat bolehlah menghantar mesej menerusi talian 019-6564758. Dalam perkembangan seninya, Jalaluddin memberitahu dia kini menjalinkan hubungan bersama karyawan di Brunei dan akan ke sesi promosi projek filemnya bersama produksi di negara itu berjudul Waris.