suria

Yana Samsudin Alami Bentan Akibat Langgar Pantang Bersalin

Yana bersama suaminya Fadzil Zahari dan anak sulung mereka Aisy Mateen. Foto Ihsan Instagram @yanasamsudin

PETALING JAYA: Gara-gara melanggar pantang, pelakon Yana Samsudin memberitahu dia mengalami bentan ketika dalam proses berpantang selepas melahirkan anak sulungnya pada 21 Julai lalu.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin,32, berkata, perkara tersebut terjadi selepas secara tidak sengaja dia melanggar pantang dengan memakan makanan sejuk yang tidak sesuai dengan ketahanan badannya.

"Saya ada lebih kurang seminggu lagi proses berpantang, sepanjang proses ini memang agak sukar juga kerana saya bersalin secara pembedahan dan sukar untuk bergerak akibat luka.

Kehadiran cahaya mata mengeratkan lagi hubungan Yana dan Fadzil.
"Dua kali saya alami bentan dan demam mengejut serta menggigil seluruh badan akibat tersalah makan.

"Kali pertama saya rasa ia mungkin berpunca saya makan sayur bayam, walaupun ada membaca serba sedikit tentang pantang larang tapi ia bergantung kepada badan masing-masing juga," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon filem Bini-Biniku Gengster ini berkongsi pengalaman ketika melalui proses berpantang selepas bergelar ibu kepada bayi lelaki yang diberi nama Aisy Mateen.

Yana berkahwin dengan pelakon dan penulis skrip Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015.

Selain itu, kata Yana, dia juga tidak membuat sebarang persediaan untuk melalui proses berpantang secara pembedahan.

"Saya sudah baca dan buat banyak persediaan untuk bersalin secara normal, namun tidak sangka waktu bersalin itu mengambil masa 16 jam sehingga doktor beritahu bayi hampir lemas dan terpaksa dibedah," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang nama Aisy Mateen, Yana berkata, dia dan suami sudah merujuk nama tersebut kepada beberapa ahli agama sebelum membuat keputusan menggunakan nama berkenaan.

Aisy Mateen yang comel.

Katanya, Aisy Mateen merupakan bahasa Arab yang membawa maksud Kehidupan Yang Teguh.

"Sebenarnya nama ini sudah lama ada sejak dia belum lahir sahaja cuma kami tangguhkan pendaftaran nama itu kerana atuk-atuk dia pun ada beri cadangan nama Azizan dan Ibnu Sinar.

"Selepas tiga minggu dilahirkan dan melihat nama terbaik, barulah kami buat keputusan untuk pakai nama ini malah Fadzil juga sudah merujuk terlebih dahulu dengan beberapa ahli agama tentang nama itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Yana berkata, dia turut merancang untuk mengadakan sebuah majlis bagi memperkenalkan bayi sulungnya itu kepada rakan-rakan terdekat dan media tidak lama lagi.

"Ramai nak jumpa dan melawat saya, tapi buat masa ini saya belum bersedia untuk terima tetamu, saya pun belum sihat sepenuhnya.

"Insya-Allah saya juga ada merancang untuk adakan sebuah majlis dan menjemput semua rakan-rakan dan media tidak lama lagi," ujarnya.

Yana Samsudin

Artikel Berikut

Artikel Lain