suria

"Hubungan Kami Masih Baik" - Kamal Adli

Kamal dan Emma Maeombong hadir bersama ketika melintasi karpet merah Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) pada malam Sabtu. Foto HAFIZ IDZLA
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli menjelaskan kehadirannya bersama aktres Emma Maembong di karpet merah Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada malam Sabtu lalu atas undangannya.

Kamal juga menjelaskan hubungannya dengan wanita berkenaan masih lagi baik namun enggan mengulas lanjut tentang hubungan sebenar mereka selepas dilaporkan sudah berpisah sebelum ini.

"Kebetulan Emma tiada teman untuk ke FFM dan saya mengajaknya untuk melalui karpet merah itu bersama-sama.

"Hubungan kami masih baik dan sedang cuba memperbaiki kekurangan yang ada sebelum ini.

Hubungan pasangan ini kembali pulih.

"Selebihnya doakan yang baik-baik untuk kami berdua," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada acara berkenaan yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu lalu.

Sebelum ini, hubungan pasangan itu sebelum ini dikatakan sudah berakhir apabila masing-masing jarang memuat naik gambar bersama di laman sosial.

Malah Emma dalam satu kenyataan meminta diberi ruang untuk berbincang tentang hala tuju hubungan mereka sebelum memberi sebarang respons.

Sementara itu, Emma pula berkata, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Kamal dan kehadirannya adalah atas undangan pelakon itu.

"Hubungan kami masih baik dan saya datang bersama dia malam ini pun kerana Kamal yang ajak. Saya okey sahaja," katanya.

Ditanya adakah mereka putus cinta sebelum ini Emma dalam nada bergurau berkata, dia tidak pernah memberi kenyataan bercinta.

"Siapa kata kami bercinta? Saya tak pernah pun cakap bercinta... Kami kawan biasa saja," katanya.

Kamal Adli, Emma Maembong, FFM28

Artikel Lain