PUCHONG: Pengacara Fara Fauzana masih enggan menjelaskan punca pembatalan majlis pernikahannya pada 17 September ini biarpun diserbu pihak media yang ingin mendengar reaksinya berhubung insiden berkenaan. Fara atau nama sebenarnya Fara Fauzana Mohd Fadzli, 36, berkata, segalanya sudah terjawab seperti yang ditulis pada kenyataan media yang dikeluarkannya pada pada Ahad lalu. "Semuanya sudah ditulis dalam kenyataan media dan tiada apa-apa yang ingin diulas lagi. "Apa yang berlaku sudah kententuan Allah, saya kena pergi sekarang, terima kasih," ujarnya ketika bercakap kepada pihak media selama kira-kira empat minit. SILA KLIK: Bekas Calon Suami Fara Fauzana Dedah Tidak Pernah Berkahwin Fara hadir pada majlis iM4U FM Sekolah Radio 2016 dan sambutan ulang tahun ke 2 saluran radio itu di Taman Perindustrian Puchong di sini pada Khamis. Fara ketika hendak menaiki kenderaannya. Pada majlis itu Fara dijemput menjadi ahli penel bersama beberapa rakan selebriti antaranya Faizal Ismail, Altimet dan Anne Osman. Ketika tamat sesinya kira-kira pukul 1.20 petang, pengacara itu kemudian bergegas menuju ke kereta jenis BMW X6 berwarna hitam yang dipandu oleh pemandu peribadi yang sudah sedia menunggu dalam kenderaan tersebut. Fara yang berbaju berwarna biru itu dikawal ketat oleh 10 pengawal termasuk pembantu peribadi yang juga anak saudaranya iaitu Wan Zul Aimi Wan Ismail selepas selesai tugasan pada majlis anjuran stesen radio itu. Kenderaan mewah itu turut dipakir di belakang pentas berhampiran pintu masuk yang memudahkan Fara untuk terus ke kenderaannya dengan tujuan mengelak daripada wartawan. Kira-kira sepuluh orang pengamal media berkumpul sejak pukul 9 pagi di perkarangan iM4U Sentral dalam usaha mendapatkan kenyataan daripada Fara. Pihak media juga ditegur oleh pengawal agar tidak berkumpul dan menunggu di hadapan pintu keluar tersebut. Sebelum itu, Fara terlebih dahulu meminta pihak penganjur agar tidak mengadakan sesi temuramah media berikutan dia perlu bergegas ke lokasi lain sejurus selesai tanggungjawabnya sebagai moderator. Dalam pada itu, ketika sesi bual bicara berlangsung Fara menjalankan tugasnya dengan baik tanpa sebarang tekanan yang menjejaskan fokusnya mengendalikan majlis berkenaan. Fara sempat melambaikan tangannya meninggalkan pihak media denganseribu satu persoalan. Faizal yang berjenaka pada awal kemunculannya di pentas memberitahu, pengacara wanita itu tidak dapat hadir secara tiba-tiba kerana masalah peribadi. Bagaimanapun, Fara muncul dari belakang pentas menjawab bahawa dia akan tetap meneruskan tugasnya biarpun berhadapan dengan masalah. "Saya tetap akan muncul kerana kerja tetap kerja walaupun berhadapan dengan rintangan atau masalah," ujarnya. Terdahulu, pada Ahad lalu, Fara mengumumkan pembatalan pernikahannya dengan Mohamed Hafiz Badiuzzaman, 30, yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, Petaling Jaya. Bagaimanapun, pada Rabu, bekas calon suaminya itu tampil membuat kenyataan bahawa dia belum pernah berkahwin dan status dirinya bukan punca sebenar pembatalan majlis perkahwinan mereka. Hafiz dalam kenyataan tersebut meminta pihak media bertanya kepada Fara kenapa majlis pernikahan mereka itu terpaksa dibatalkan. IZZRAFIQ ALIAS IZZRAFIQ ALIAS