suria

Fareez Enggan Dibayangi Fauzi Nawawi & Lisdawati

Fareez tidak selesa terus dikatakan menumpang populariti bapa dan ibu tirinya iaitu pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati. Foto Ihsan Instagram @fareezmentormilenia
PETALING JAYA: Juara Mentor Milenia iaitu Fareez Fauzi berharap agar dia dapat berdikari dalam mencipta nama sebagai penyanyi tanpa dibayangi oleh populariti bapanya, pelakon Fauzi Nawawi dan ibu tiri aktres Lisdawati.

Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan Fauzi, 19, berkata, sebagai pendatang baharu dia ingin dikenali kerana bakatnya dan bukan semata-mata kerana dia anak kepada selebriti terkenal.

"Saya bukannya tidak suka kerana hakikatnya mereka adalah ibu-bapa saya tetapi saya tidak selesa apabila ada pihak terus mengaitkan saya menumpang populariti mereka untuk dikenali.

"Sebagai pendatang baharu masih banyak perkara yang perlu saya pelajari selain berdikari untuk berjaya," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Fareez berkata, Fauzi dan Lisdawati banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepadanya dalam memastikan dia menjadi seorang penyanyi berdisiplin dan mampu kekal lama dalam industri.

"Ayah dan mama selalu nasihatkan agar sentiasa merendah diri dan mementingkan disiplin dalam kerja malah kalau saya lambat bangun Mama adalah orang pertama akan bising.

"Dia tidak mahu saya jadi artis yang tidak mempunyai disiplin dan sering mengingatkan tanggungjawab terhadap amanah yang orang berikan kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, Fareez yang popular menerusi Lagu Radio itu berkata, dia juga berhasrat untuk mengikut jejak langkah ibu bapanya dalam bidang lakonan sekiranya diberikan peluang.

Kata Fareez dia memang meminati bidang lakonan namun buat permulaan dia ingin mencuba watak ringan terlebih dahulu sebagai percubaan.

"Sebetulnya baru-baru ini saya ada menerima tawaran berlakon tetapi masih belum ada hitam putih mengenainya dan Alhamdulillah Ayah pun memberi sokongan.

"Tetapi sebagai permulaan ini saya tidak berani jika diberikan watak berat kerana tiada pengalaman dan mahu mencuba jika diberikan peranan ringan atau sampingan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fareez berkata, dia bakal muncul dengan single keduanya dalam masa terdekat ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain