KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini yang dikatakan sedang hangat bercinta dengan pengacara Donna Muslim menegaskan hatinya belum terbuka untuk menerima kehadiran seseorang kekasih dalam hidupnya. Rita, 40, bagaimanapun tidak menafikan keakrabannya dengan Donna adalah kerana sifat terbuka dirinya untuk berkawan yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana lelaki sebelum ini. "Apa yang boleh saya katakan setakat ini saya hanya mampu untuk berkawan biasa sahaja dan hati masih belum terbuka tentang soal cinta atau pun berkahwin. "Jika dahulu berkawan pun saya tidak mahu dan kalau ada yang boleh cairkan hati saya, Insya-Allah saya terima. "Tetapi apa yang paling penting lelaki itu nanti kena pandai ambil hati anak-anak saya dan melayan mereka dengan baik," katanya kepada mStar Online. Rita ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran beg tangan jenama Victoria Sloane by Rita Sosilawati di butik Fashion Valet di sini, Selasa. Rita menegaskan hubungannya dengan Donna hanya sekadar kawan biasa. Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungan sebenarnya dengan Donna, Rita menegaskan mereka hanya sekadar berkawan baik selain menyifatkan lelaki berusia 27 tahun itu menyenangkan. "Dengan Donna saya boleh bercakap tentang apa sahaja kerana dia seorang lelaki yang menyenangkan. "Alhamdulillah dia pun baik dengan anak-anak tetapi kami hanya berkawan sahaja," katanya. Dalam perkembangan lain, Rita berkata, dia bersyukur apabila restorannya Rumah Kueh yang dibuka sejak Jun lalu semakin mendapat sambutan daripada pelanggan. Malah kata Rita, dia semakin seronok dapat memasak sendiri hidangan yang disediakan kepada pelanggan bagi memastikan mereka dapat merasai air tangannya sendiri. "Alhamdulillah walaupun pada awalnya takut juga hendak memasak kerana biasanya masak sendiri untuk makan di rumah namun saya syukur pelanggan suka dengan masakan saya. Rita memasak sendiri hidangan di restorannya, Rumah Kueh. "Setiap hari saya akan ke restoran seawal lapan pagi selepas hantar anak ke sekolah untuk masak hidangan makanan tengah hari dan menu istimewa," katanya. Rita memberitahu dia juga memasak menu istimewa seperti laksa, nasi lemak dan pisang daap daap. Tambahnya lagi, dia juga tidak menyangka ramai pelanggannya sanggup datang dari Johor dan Singapura demi merasai masakannya. "Hujung minggu Rumah Kueh memang ramai pelanggan malah ada dari Johor dan Singapura dan Insya-Allah ada juga perancangan hendak membuka cawangan di sana pada masa hadapan," ujarnya. Restoran berkenaan terletak di Sunway Nexis Retails, Kota Damansara dekat sini. Sementara itu, Rita berkata, dia bakal memasuki set penggambaran drama bersiri terbitan Zeel Production pada Oktober ini bersama Aqasha.