suria

Kontroversi Atikah Suhaime Tidak Jejaskan 'Volkswagen Kuning'

Pekin Ibrahim yakin kontroversi melanda Atikah Suhaime tidak menjejaskan kutipan filem Volkswagen Kuning di pawagam. Foto LOW BOON TAT
PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim tidak melihat kontroversi yang melanda pasangannya dalam filem Volkswagen Kuning iaitu Atikah Suhaime akan menjejaskan kutipan filem berkenaan.

Pekin atau Mohd Iznan Ibrahim, 35, sebaliknya tidak menolak isu melanda aktres berasal dari Singapura itu dapat menarik penonton ke pawagam.

"Susah sebenarnya hendak cakap tentang sama ada kontroversi itu akan menjejaskan kutipan atau pun tidak.

Atikah Suhaimie.
"Tetapi sesuatu kontroversi itu kadang-kadang dapat membantu penonton ke pawagam," katanya kepada mStar Online.

Pekin ditemui previu Volkswagen Kuning yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pekin berkata, dia tidak layak untuk mengulas lanjut berhubung isu melanda Atikah kerana ia bukan urusannya.

Kata Pekin ia adalah masalah peribadi Atikah dan yakin pelakon itu dapat menyelesaikan sendiri perkara itu.

“Tentang kontroversi itu saya tidak mahu komen kerana is adalah masalah peribadi pelakon itu sendiri dan biarlah dia yang uruskan sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Pekin memberitahu dia bersetuju untuk terlibat dalam filem terbitan Metrowealth itu selepas beberapa syarat yang dikenakan diterima.

Pekin berkata, syarat tersebut termasuk ingin melihat rekaan poster dan trailer naskhah berkenaan terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan kepada umum.

“Pada mulanya saya menolak untuk berlakon tetapi selepas pengarahnya sendiri telefon, saya besetuju untuk terlibat.

Barisan pelakon Volkswagen Kuning bersama Ketua Pegawai Ekskutif MIG, David Teo pada tayangan perdana filem itu baru-baru ini.

“Namun ada beberapa perkara yang kami bincangkan sebelum saya terima iaitu ingin pilih pelakon wanita, melihat rekaan poster dan trailer filem terlebih dahulu.

“Saya buat permintaan itu kerana bimbang trailer dan poster tidak kuat sehingga gagal menarik penonton ke pawagam,” ujarnya.

Tambah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) ini,  sebagai pelakon dia berhak memberi idea sebelum karya tersebut ditayangkan di pawagam.

Filem Volkswagen Kuning bakal ditayangkan di pawagam bermula 22 September ini di seluruh pawagam tanah air.

Artikel Lain